Close

Red Magic 9 Pro+ Transformers Edition akan diperkenalkan pada 29 Mac ini

Red Magic melalui laman Weibo mengesahkan yang mereka akan memperkenalkan telefon edisi khas iaitu Red Magic 9 Pro+ Transformers Edition pada 29 Mac ini di China.

Red Magic 9 Pro+ Transformers Edition ini hadir dengan karakter popular filem tersebut iaitu Bumblebee. Telefon edisi khas ini tampil dengan tema berwarna kuning dengan sentuhan premium seperti carbon fiber pada panel belakang. Terdapat juga logo Autobot, penjenamaan Red Magic dan juga perkataan ‘Transformers Bumblebee’ pada bahagian belakang.

Untuk menjadikan ia lebih eksklusif, ia didatangkan dengan kotak bungkusan berbentuk heksagon mengikut kepada tema filem tersebut. Selain itu, aksesori dalam kotak turut menggunakan tema Bumblebee seperti pengecas 165W, pelekat, SIM Ejector dan juga kipas magnetik.

Tiada perubahan pada spesifikasi untuk telefon edisi khas ini. Bermaksud, ia hadir dengan skrin AMOLED bersaiz 6.8-inci dengan paparan 120Hz. Dikuasakan dengan cip Snapdragon 8 Gen 3, 24GB RAM LPDRR5X, storan 1TB UFS 4.0 dan tri-kamera belakang dengan sensor utama 50MP OIS Samsung GN5.

Sebelum ini, Red Magic telah memperkenalkan telefon edisi terhad Transformers Edition untuk siri Red Magic 7 dan Magic 8. Malangnya, kedua-dua telefon edisi terhad Transformers Edition tersebut tidak ditawarkan untuk pasaran Malaysia. Jadi, untuk penawaran kali ini ia mungkin sama atau sebaliknya.

ARTIKEL BERKAITAN