Apple secara rasmi berkongsi tarikh acara Worldwide Developer Conference 2024 (WWDC) iaitu pada 10 hingga 14 Jun. Acara ini terbuka kepada semua pembangun, diadakan dalam dua bahagian iaitu secara dalam talian dan juga secara fizikal di Apple Park.
Acara ini lebih memfokuskan kepada pembangun dan Apple bakal memperlihatkan perisian dan teknologi baharu yang akan dibawakan pada macOS, iOS, iPadOS, watchOS, tvOS dan juga VisionOS. Perkara paling menjadi perhatian semestinya kemas kini iOS 18 yang dijangka tampil dengan perubahan yang drastik berbanding versi sebelumnya.
Selain itu, kita mungkin boleh menjangkakan Apple akan turut memperlihatkan keupayaan kecerdasan buatan (AI) yang akan diintergrasikan pada sistem operasi generasi yang seterusnya. Buat masa ini, tiada maklumat terperinci yang dikongsi oleh Apple.
Maklumat tambahan mengenai WWDC 24 akan diumumkan melalui laman web Apple Developer. Seperti biasa, sama-sama kita nantikan.