Close

Pandang pertama Samsung Galaxy A55 5G – Lebih premium, tapi…

Samsung telahpun memperkenalkan siri Galaxy A 2024 untuk pasaran tempatan. Model yang paling mencuri tumpuan semestinya Galaxy A55 5G. Dan Untuk tahun ini, Samsung membawakan pelbagai peningkatan menarik pada Galaxy A55 5G yang merangkumi rekaan, spesifikasi dan juga teknologi yang lebih baik dari sebelumnya. Berikutan itu, kami ingin berkongsi pandang pertama mengenai peranti ini.

Dari segi rekaan, Samsung menggunakan rekaan mirip seperti siri Galaxy S24 pada peranti ini. Rekaan ini boleh dikatakan baik kerana ia kelihatan kemas dan premium biarpun tanpa perubahan yang ketara. Ia juga boleh dikatakan sebagai alternatif yang lebih mampu milik sekiranya anda meminati rekaan siri Galaxy S24.

Selain itu, Samsung turut menggunakan bahan binaan dan kemasan yang lebih baik berbanding model sebelumnya. Tidak lagi menggunakan bingkai dari binaan plastik sebaliknya menggunakan bingkai dari binaan aluminum untuk memberikan rasa yang lebih premium apabila dipegang. Selain itu, peranti ini menggunakan rekaan bingkai yang unik yang dipanggil sebagai ‘Key Island’ menempatkan butang kuasa dan butang suara. Rekaan ini memberikan cengkaman yang lebih baik ketika menggunakan peranti ini.

Untuk pilihan warna, ia hadir dengan 3 pilihan warna yang unik dan menarik iaitu Awesome Lilac, Awesome Black dan Awesome Iceblue. Pada pendapat kami, Awesome Iceblue adalah warna paling menarik dan cantik untuk Galaxy A55 5G. Namun begitu, anda mungkin mempunyai pendapat yang berbeza.

Galaxy A55 5G dilengkapi dengan skrin Super AMOLED 6.6-inci dengan resolusi FHD+. Turut menyokong paparan 120Hz dan Vision Booster untuk pengalaman penggunaan skrin yang lebih baik. Tiada perubahan dari segi skrin, masih lagi mengekalkan rekaan yang sama dengan bingkai yang agak tebal namun ia kini dilindungi dengan Gorilla Glass Victus+.

Untuk spesifikasi dalaman, peranti ini dikuasakan dengan cip Exynos 1480 yang dibina dengan teknologi binaan 4nm. Dipadankan dengan konfigurasi yang RAM yang lebih besar iaitu 12GB RAM dan storan dalaman 256GB. Kemampuan prestasi peranti ini boleh dikatakan sangat baik. Pada percubaan ringkas kami, semua aplikasi dapat dilancarkan dengan pantas dan lancar tanpa sebarang masalah. Bateri 5000mAh dimuatkan yang menjanjikan jangka hayat bateri yang lebih panjang yang digabungkan dengan pengecasan pantas 25W.

Untuk fotografi, ia hadir tetapan tri-kamera belakang dengan sensor utama 50MP OIS + 12MP Ultra Lebar + 5MP makro dan Swafoto 32MP. Samsung menyatakan yang kamera ini mampu memberikan hasil imej yang baik dan terperinci. Kami belum lagi dapat mencuba keupayaan penuh kamera peranti ini. Namun, kami sempat mengambil beberapa sampel gambar menggunakan kamera peranti.

Tidak ketinggalan, peranti ini turut menyokong fungsi keselamatan Samsung Knox Vault dan kemas kini yang lebih panjang iaitu 4 tahun kemas kini Android dan 5 tahun kemas kini keselamatan. Selain itu, terdapat juga beberapa spesifikasi menarik yang turut dibawakan pada peranti ini seperti penarafan IP67, Bluetooth 5.3, NFC, pengimbas cap jari pada bawah skrin dan menjalankan sistem operasi One UI 6.1 berasaskan Android 14.

ARTIKEL BERKAITAN