Apple berkemungkinan akan memperkenalkan dua peranti baru pada Mei ini. Dua peranti yang djangka akan diperkenalkan adalah iPad Pro dan iPad Air. Kedua-dua peranti ini dijangka akan membawakan peningkatan spesifikasi yang lebih baik namun kekal dengan rekaan yang sama.
Menurut laporan, kedua-dua peranti ini sepatutnya diperkenalkan lebih awal iaitu sekitar Mac 2024 namun disebabkan beberapa masalah Apple terpaksa melewatkan pelancarannya iaitu pada Mei 2024.
Untuk iPad Air, ia dilaporkan akan hadir dalam dua pilihan skrin iaitu 10.9-inci dan 12.9-inci. Merupakan kali pertama Apple menawarkan dua pilihan saiz skrin untuk model iPad Air. Selain itu, ia akan tampil dengan rekaan kamera belakang yang berbeza dan dijana dengan cip Apple M2. Turut menyokong Wi-Fi 6E dan Bluetooth 5.3.
Manakala untuk iPad Pro, ia dijangka akan menjadi iPad Pro pertama menggunakan skrin OLED dan hadir dengan dua pilihan skrin 11-inci dan 13-inci. Skrin baru ini akan menawarkan puncak kecerahan yang lebih baik, nisbah kontras yang lebih tinggi dan penggunaan kuasa yang lebih rendah berbanding model semasa yang menggunakan skrin LCD. iPad Pro baru ini berkemungkinan akan dikuasakan dengan cip Apple M3.
Buat masa ini, Apple belum lagi mendedahkan sebarang maklumat mengenai acara pelancaran peranti ini. Kami jangkakan, akan lebih banyak maklumat yang akan dikongsi dari masa ke semasa. Seperti biasa, sama-sama kita nantikan.