Mungkin anda perasaan yang antara muka WhatsApp telah berubah. Yang mana, navigasi yang dulunya berada di bahagian atas kini berada di bahagian bawah.
Antara muka baru ini telahpun tersedia kepada pengguna secara berperingkat dan kami telahpun menerima kemas kini ini pada minggu lalu. Tidak hanya mengubah navigasi ke bahagian bawah, antara muka baru ini menggunakan ikon yang lebih menarik yang telah direka semula.
Selain itu, WhatsApp kini menggunakan lebih banyak sentuhan berwarna putih untuk menjadikan ia lebih mudah untuk dilihat. Navigasi pada bahagian bawah ini juga dilihat memudahkan pengguna untuk mengakses sekaligus memberikan pengalaman penggunaan yang lebih baik.
Antara muka baru ini juga dilihat mirip seperti yang ditawarkan pada pengguna iOS. Dengan pengumuman ini, ia membawa maksud antara muka baru ini akan tersedia secara global kepada semua pengguna.
WhatsApp dijangka akan menawarkan lebih banyak fungsi menarik pada masa akan datang seperti perkongsian video status sehingga 60 saat, imej dan video status pada resolusi HD dan Status Mention mirip seperti Insta Stories.