Close

3 perkara yang kami suka mengenai Samsung Galaxy A35 5G

Siri Galaxy A dari Samsung mungkin boleh dikatakan sebagai alternatif terbaik untuk merasai pengalaman yang hampir sama seperti siri Galaxy S. Pada ketika ini, siri Galaxy A telahpun memasuki generasi kelima dan masih ditawarkan pada harga yang mampu milik.

Untuk siri Galaxy A 2024, Samsung tampil dengan beberapa peningkatan dan perbezaan untuk menjadikan peranti lebih menarik dan lebih baik. Antaranya perbezaan dan peningkatan yang dibawakan oleh Samsung adalah seperti rekaan yang lebih menarik, binaan yang lebih baik, kemas kini yang lebih panjang dan lain-lain. Oleh yang demikian kami ingin berkongsi mengenai 3 perkara yang kami suka pada Galaxy A35 5G.

Spesifikasi

Galaxy A35 5G hadir dengan skrin Super AMOLED 6.6-inci dengan resolusi FHD+. Turut menyokong paparan 120Hz, kecerahan puncak 1000 nits dan Vision Booster untuk pengalaman penggunaan skrin yang lebih baik. Skrin peranti boleh dikatakan antara yang terbaik dalam kelasnya, setiap sentuhan terasa lancar, responsif dan juga tepat. Tidak ketinggalan, ia kini dilindungi dengan Corning Gorilla Victus+ untuk menjadikan ia lebih tahan lasak berbanding model sebelumnya.

Dijana dengan cip Exynos 1380 yang dibina dengan teknologi 5nm. Dipadankan dengan 8GB RAM dan storan dalaman sehingga 256GB. Dari segi prestasi, tiada sebarang masalah yang dihadapi untuk penggunaan biasa. Semua aplikasi dapat dijalankan dengan lancar manakala untuk permainan yang ringan ia boleh dimainkan dengan sangat baik.

Untuk fotografi, ia hadir tetapan tri-kamera belakang dengan sensor utama 50MP OIS + 12MP Ultra Lebar + 5MP makro dan Swafoto 32MP. Samsung menyatakan yang kamera ini mampu memberikan hasil imej yang baik dan terperinci. Dari segi rakaman, peranti ini menyokong sehingga rakaman video sehingga 4K 30fps.

Rekaan

Tidak dinafikan yang rekaan Galaxy A35 5G mirip seperti siri Galaxy S24 yang ditawarkan pada harga yang lebih premium. Namun begitu, terdapat beberapa penambahbaikkan yang dibawakan oleh Samsung pada peranti ini. Lebih menarik, Samsung kini menggunakan bahan binaan yang lebih baik dan lebih premium.

Jika dilihat sekali pandang, anda mungkin sukar untuk membezakan antara Galaxy A35 5G atau Galaxy S24. Perbezaan ketara pada rekaan Galaxy A35 5G adalah pada bahagian sisi kanan yang mempunyai sedikit lekuk yang dipanggil sebagai ‘Key Island’, memberikan keselasaan yang lebih baik ketika dipegang. Rekaan ini boleh dikatakan agak unik dan memberikan rasa yang berbeza dari model sebelumnya.

Secara keseluruhan, rekaan Galaxy A35 5G ini boleh dikatakan sebagai minimalis dan premium. Bahan binaan, rekaan dan kemasan yang digunakan pada peranti ini berjaya menjadi ia berbeza dan lebih baik berbanding model sebelumnya.

Sistem operasi

Galaxy A35 5G menjalankan sistem operasi terkini dari Samsung iaitu One UI 6.1 berasaskan Android 14. Sistem operasi ini masih mengekalkan rekaan yang minimalis dan mudah untuk dikendalikan. Sejujurnya, sistem operasi One UI boleh dikatakan antara sistem operasi yang terbaik ada di pasaran ketika ini.

Apa yang kami suka mengenai One UI 6.1 adalah ia kini menyokong ubahsuai antara muka yang lebih mendalam sekaligus memberikan pengguna lebih banyak pilihan dari segi tema warna dan juga keupayaan widget yang dipertingkat. Selain itu, One UI baru ini turut menyokong pengubahsuai Lock Screen yang lebih menyeluruh. Sepanjang percubaan kami tiada sebarang masalah yang dihadapi ketika menggunakan peranti ini.

Selain menawarkan pengalaman sistem operasi yang lancar dan pantas, Samsung turut menjanjikan kemas kini yang lebih panjang berbanding pengeluar lain dengan 4 tahun kemas kini Android dan 5 tahun kemas kini keselamatan. Bercakap mengenai keselamatan, Samsung kini menyertakan Knox Vault yang direka untuk melindungi data privasi pengguna daripada serangan siber dan sebagainya. Dengan kemas kini yang lebih panjang dan Knox Vault ia sesuai untuk pengguna yang mementingkan kemas kini dan keselamatan data privasi.

ARTIKEL BERKAITAN