HUAWEI secara rasmi berkongsi beberapa teaser awal mengenai peranti andalan mereka yang seterusnya. Lebih menarik, perkongsian tersebut turut mendedahkan yang HUAWEI tidak lagi menggunakan nama siri P sebaliknya menggunakan nama baru iaitu ‘HUAWEI Pura70’.
HUAWEI menyatakan yang Pura70 akan kekal membawakan ideologi yang sama seperti siri sebelum ini iaitu tampil dengan rekaan yang premium, keupayaan kamera yang baik, teknologi yang dipertingkat dan sebagainya. Bercakap mengenai rekaan, peranti ini akan hadir dengan rekaan kamera belakang baru mirip seperti Fidget Spinner dan berbeza dengan model sebelumnya.
HUAWEI Pura 70 dijangka akan dikuasakan dengan cip Kirin 9000S yang menggunakan teknologi binaan 7nm. Menggunakan kamera utama 50MP dengan XMAGE, Swafoto 13MP dan menyokong pengecasan pantas 88W.
HUAWEI buat masa ini belum lagi mendedahkan sebarang maklumat mengenai peranti dan acara pelancarannya. Kita mungkin boleh menjangkakan yang peranti ini akan diperkenalkan dalam masa terdekat. Seperti biasa, lebih banyak maklumat yang akan dikongsi dari masa ke semasa.