Close

Infinix GT 20 Pro diperkenalkan – Guna cip Dimensity 8200 Ultimate dan paparan 144Hz

Infinix secara rasmi memperkenalkan peranti baru iaitu GT 20 Pro sekaligus menggantikan model sebelumnya iaitu GT 10 Pro. Peranti ini tampil dengan spesifikasi yang cukup menarik bersama dengan pelbagai peningkatan yang lebih baik.

Infinix GT 20 Pro dilengkapi dengan skrin AMOLED LTPS bersaiz 6.78-inci dengan paparan 144Hz dan menyokong kecerahan puncak 1300 nits. Dikuasakan dengan cip Dimensity 8200 Ultimate yang dipadankan dengan 12GB RAM dan storan dalaman 256GB.

Menggunakan tetapan dwi-kamera belakang dengan sensor utama 108MP + 2MP Kedalaman dan 32MP swafoto. Dimuatkan dengan bateri 5000mAh yang menyokong pengecasan pantas 45W. Menarik mengenai peranti ini, ia mempunyai lampu LED RGB pada bahagian belakang yang menyokong 8 gabungan warna dan 4 kesan pencahayaan. Ia juga boleh digunakan sebagai lampu notifikasi untuk panggilan masuk, pengecasan dan sebagainya.

Dari segi permainan, ia kini hadir dengan mod esukan secara terbina dan dilengkapi dengan cip X5 Turbo Vision. Spesifikasi lain yang turut dimuatkan adalah seperti sistem penyejukkan, NFC, pembesar suara jenis stereo, pengimbas cap jari bawah skrin dan menjalankan sistem operasi XOS 14.

Di Arab Saudi, Infinix GT 20 Pro dijual pada harga bermula sekitar SAR1299 (RM1653). Peranti ini akan turut diperkenalkan untuk pasaran tempatan pada 2 Mei ini.

ARTIKEL BERKAITAN