Peranti mampu milik dari Google iaitu Pixel 8a dijangka akan diperkenalkan tidak lama lagi. Menurut beberapa laporan, peranti tersebut mungkin akan diperkenalkan pada acara Google I/O yang berlangsung pada 14 Mei ini.
Terbaru, iklan promosi untuk Pixel 8a telah tertiris sekaligus memberikan beberapa maklumat mengenai peranti tersebut. Melalui maklumat tersebut, ia mendedahkan yang Pixel 8a akan dikuasakan dengan cip sama yang digunakan pada Pixel 8 dan Pixel 8 Pro iaitu Tensor G3
Menariknya, peranti ini akan turut menyokong kemas kini sehingga 7 tahun seperti yang ditawarkan pada Pixel 8 dan Pixel 8 Pro. Kemampuan kamera peranti ini akan dijana dengan AI yang dinamakan sebagai ‘The AI-mazing pixel camera’. Selain itu, ia akan turut menyokong pengecasan pantas, jangka hayat bateri yang lebih panjang dan menyokong penarafan IP67.
Untuk spesifkasi, Pixel 8a berkemungkinan akan dilengkapi dengan skrin OLED bersaiz 6.7-inci, paparan 90Hz, 8GB RAM, storan dalaman 128GB, kamera utama 64MP, bateri 4500mAh dan pengecasan 27W.