Untuk tahun 2024, HUAWEI tampil dengan penjenamaan semula siri ‘P’ kepada nama yang lebih ikonik iaitu ‘Pura’. Pejenamaan semula ini boleh dikatakan sebagai era baru atau peralihan yang lebih baik untuk HUAWEI.
Siri HUAWEI Pura 70 telahpun tiba untuk pasaran tempatan. Tampil dengan 3 pilihan model iaitu Pura 70, Pura 70 Pro dan Pura 70 Ultra. Seperti model sebelumnya, siri Pura 70 masih lagi mengekalkan ideologi yang sama iaitu kemampuan fotografi pada tahap tertinggi. Untuk kali ini, kami ingin berkongsi pandang pertama mengenai model paling premium iaitu Pura 70 Ultra.
Mewah dan premium, itu mungkin ayat yang sesuai untuk menggambarkan rekaan pada peranti ini secara keseluruhan. Pura 70 Ultra tampil berbeza dari model sebelumnya. Mungkin boleh dikatakan yang rekaan Pura 70 Ultra adalah rekaan terbaik pernah dihasilkan oleh HUAWEI untuk siri ‘P’.
Perkara yang kami suka mengenai rekaan peranti ini adalah rekaan kamera dan kemasan panel belakang yang cukup menyerlah. Rekaan kamera baru ini dipanggil sebagai ‘Forward Symbol Design‘. Seperti namanya, rekaan ini menggambarkan HUAWEI kini bergerak ke era baru yang lebih maju. Kemasan panel belakang pada peranti ini juga cukup menarik dengan kemasan jenis kulit yang dipadankan dengan tekstur bercorak yang unik. Rekaan panel belakang yang cantik ini dipanggil sebagai ‘Starry Patern’.
Tidak hanya menarik, rekaan panel belakang ini turut memberikan rasa yang lebih selesa dan cengkaman yang lebih baik. Selain itu, rekaan dan kemasan panel belakang ini dilihat mirip seperti rekaan yang digunakan pada kebanyakkan beg tangan mewah.
Dari segi pilihan warna, Pura 70 Ultra hadir dengan 3 pilihan warna yang sangat menarik itu Green, Black dan Brown. Pada pendapat kami, Green adalah warna paling menarik dan cantik untuk Pura 70 Ultra. Namun begitu, anda mungkin mempunyai pendapat yang berbeza.
Pura 70 Ultra dilengkapi dengan skrin LTPO OLED bersaiz 6.8-inci dengan paparan 120Hz. Seperti model sebelumnya, Pura 70 Ultra kekal menggunakan rekaan skrin Quad-Curve yang memberikan keselesaan yang lebih baik semasa menggunakan peranti ini. Secara jujurnya, kami bukan peminat skrin jenis melengkung namun Quad-Curve memberikan rasa yang berbeza dan selesa apabila ditangan.
Untuk prestasi, peranti ini dijana dengan cip Kirin 9010 yang dipadankan dengan 16GB RAM dan storan dalaman sehingga 1TB. Pada percubaan ringkas kami, peranti ini berjaya menjalankan tugas sangat baik tanpa sebarang masalah. Memandangkan ia adalah peranti andalan, semua aplikasi dan permainan dapat dijalankan dengan pantas dan lancar. Bateri 5200mAh dimuatkan yang menyokong pengecasan pantas 100W berwayar dan 80W tanpa wayar. Dengan kapasiti bateri sebesar itu, ia menjangkakan penggunaan yang lebih panjang dan waktu pengecasan yang lebih pendek untuk satu isian penuh.
Untuk fotografi, Pura 70 Ultra tampil dengan peningkatan yang sangat ketara. Hadir dengan tetapan tri-kamera belakang dengan sensor utama 50MP 1-inci + 40MP Ultra Lebar + 50MP Telefoto dan swafoto 13MP. Kemampuan kamera ini turut dibantu melalui sistem pengimejan Xmage, menjanjikan hasil imej yang baik dan terperinci. Ia juga merupakan peranti HUAWEI pertama yang dilengkapi dengan kamera 1-inci bersama dengan retractable lens.
Walaubagaimanapun, kami belum lagi dapat mencuba keupayaan penuh kamera peranti ini. Namun, kami sempat mengambil beberapa contoh gambar menggunakan kamera peranti.
Spesifikasi lain yang turut hadir pada peranti ini adalah penarafan IP68, pelindung skrin Kunlun Glass generasi ke-2, pengimbas cap jari bawah skrin, Bluetooth 5.2, NFC dan menjalankan sistem operasi EMUI 14.2 yang berasaskan HarmonyOS 4.2.