Seperti yang kita tahu, Apple telah membuat permohonan maaf berikutan iklan promosi iPad Pro yang dikatakan tidak sensitif kepada peminat seni dan muzik di seluruh dunia.
Berikutan dari iklan kontroversi tersebut, Samsung Mobile US melalui platform X (Twitter) telah memuat naik iklan dengan tanda pagar ‘UnCrush’. Iklan yang berdurasi 43 saat itu memperlihatkan seorang wanita memijak serpihan dan mengambil gitar. Seterusnya, beliau duduk dan bermain gitar dengan merujuk not muzik pada Galaxy Tab S9 yang diletakkan di hadapannya.
Menariknya, wanita tersebut dilihat duduk diatas batu dengan kesan cat tumpah yang sama seperti iklan iPad Pro. Lebih menarik, pada akhir video terdapatnya mesej ‘Creativity cannot be crushed’.
Ini bukanlah kali pertama Samsung bertindak memerli Apple melalui iklan. Sebelum ini, telah ada beberapa siri iklan Samsung dituju khas untuk Apple. Selain itu, Samsung sememangnya bijak dalam mempromosikan produk mereka melalui iklan.