Apple dilapor akan menghentikan penawaran model Plus pada siri iPhone 17 dan akan diganti dengan model Slim. Namun apa yang menarik, iPhone 17 Slim dikatakan akan menjadi model paling premium dalam siri iPhone 17.
Menurut laporan, iPhone 17 Slim akan ditawarkan sebagai model paling premium dan dijual pada harga yang lebih mahal berbanding iPhone 17 Pro Max. iPhone 17 Slim tidak hanya tampil dengan rekaan yang nipis tetapi akan turut hadir dengan pelbagai peningkatan untuk menjadikan ia lebih premium.
Untuk setakat ini, iPhone 17 Slim dikatakan akan hadir dengan skrin dan Dynamic Island yang lebih kecil. Selain itu, ia berkemungkinan akan menggunakan bahan binaan dari aluminium. Perubahan ketara pada iPhone 17 Slim adalah kedudukan kamera belakang yang diletakkan pada bahagian atas tengah bukan di bahagian atas kiri seperti model sebelumnya.
Kita mungkin boleh menjangkakan yang iPhone 17 Slim akan hadir dengan perubahan rekaan yang ketara dari apa yang pernah dihasilkan oleh Apple. Pengenalan model Slim ini boleh dikatakan langkah terbaik untuk Apple selepas model Plus tidak mendapat sambutan seperti mana yang diharapkan.