Fujifilm Malaysia secara rasmi memperkenalkan kamera baru untuk pasaran tempatan melalui model GFX100S II. Tampil dengan pelbagai peningkatan dan dilengkapi dengan pemprosesan imej baru iaitu X-Processor 5.
GFX100S II dilengkapi dengan sensor format 1.7 kali lebih besar berbanding sensor lensa 35mm. Mengunakan sensor 102MP CMOS II yang dipadankan dengan pemproses imej terbaru iaitu X-Processor 5. Menyokong penstabilan IBIS 5 paksi secara terbina dengan 8-stops yang akan minimumkan gegaran kamera.
Sensor baru ini turut menyokong kadar sensitiviti pencahayaan standard ISO80 untuk mod pegun dan ISO100 untuk mod video. Terdapat juga 20 mod simulasi filem dimuatkan untuk menjadikan kamera ini mempunyai keupayaan yang pelbagai. Selain itu, kamera ini turut hadir dengan fungsi baru iaitu ‘Pixel Shift Multi-Shot’.
Dari segi rakaman video, GFX100S II menyokong resolusi 4K 30fps dalam 10-bit 4:2:2 dengan format H264/265. Turut menyokong rakaman Apple ProRes dengan external SSD yang disambungkan melalui USB-C. Tidak ketinggalan, terdapat juga dua format F-Log termasuk F-Log2 yang membolehkan lebih banyak kawalan warna dilakukan pada imej.
GFX100S II menggunakan skrin LCD sesentuh 3.2-inci dengan viewfinder sebesar 0.5″ OLED dengan 5.76 juta titik. Kamera ini hanya seberat 883 gram dan menyokong Frame.io yang membolehkan imej dan video dimuat naik ke storan awanan.
Di Malaysia, Fujifilm GFX100S II dijual pada harga RM26,888 untuk body sahaja. Bagi yang berminat, kamera ini boleh dipra-tempah bermula hari ini sehingga 16 Jun dengan setiap pra-tempahan akan menerima hadiah percuma bernilai RM5235.