Google melalui Android 15 menjanjikan pelbagai peningkatan yang merangkumi prestasi, privasi, keselamatan dan fungsi yang lebih menarik. Berikutan dari itu, kami ingin berkongsi 5 fungsi menarik pada Android 15.
Private Space
Fungsi ini dipanggil sebagai ruang peribadi atau private space. Seperti namanya, fungsi ini membolehkan pengguna membuat ruang berasingan untuk kegunaan peribadi atau kerja. Dengan menggunakan fungsi ini, pengguna boleh menyembunyikan pelbagai aplikasi daripada dilihat atau diakses oleh pengguna lain.
Tidak hanya menyembunyikan aplikasi sahaja, pengguna boleh menetapkan pelbagai perkara lain seperti bunyi notifikasi berbeza, susunan aplikasi yang berlainan dan menggunakan tema yang berbeza. Lebih menarik, fungsi ini mempunyai lapisan keselamatan tambahan untuk menjadikan ia lebih selamat. Fungsi ini, boleh dikatakan sebagai pemisah kepada kehidupan profesional dan peribadi.
Partial Screen Sharing
Jika sebelum ini, perkongsian skrin atau screen sharing memerlukan pengguna kongsi skrin secara menyeluruh. Namun pada Android 15, pengguna kini boleh berkongsi skrin secara separa atau pada aplikasi sahaja. Sebagai contoh, pengguna boleh membuang status bar atau butang navigasi apabila berkongsi skrin dengan pengguna lain.
Fungsi ini memberikan pengguna lebih banyak kawalan dalam perkongsian skrin dalam masa yang sama dapat memudahkan pengguna.
Theft Detection Lock
Boleh dikatakan sebagai fungsi yang menarik pada Android 15. Fungsi Theft Detection Lock ini akan memastikan maklumat, data peribadi dan kewangan pengguna selamat sekiranya peranti dicuri.
Menarik mengenai fungsi ini adalah, ia dapat mengesan secara automatik sekiranya terdapat pergerakan yang mencurigakan seperti diragut. Jika pergerakan tersebut dikesan, skrin peranti akan dikunci dengan serta merta bagi menghalang pencuri daripada mengakses data pengguna dengan mudah. Fungsi ini dikuasakan dengan kecerdasan buatan (AI) dari Google.
Health Connect
Pengguna kini boleh mengawal dan menguruskan data kecerdasan dengan lebih baik dan lebih mudah melalui Health Connect. Terdapat dua sokongan data tambahan diperkenalkan pada Android 15 iaitu suhu kulit dan pelan latihan.
Untuk penjejakan suhu kulit, ia membolehkan pengguna menyimpan atau berkongsi data suhu yang lebih tepat daripada peranti lain. Manakala pelan latihan, membolehkan pengguna merancang struktur senaman untuk gaya hidup yang sihat.
Add items to Google Wallet from a photo
Fungsi ini membolehkan pengguna untuk menambah atau menyimpan sebarang kad atau pas ke dalam versi digital. Pengguna hanya perlu mengambil gambar kad atau pas dan menambahnya ke dalam Google Wallet. Dengan fungsi ini, ia membolehkan pengguna mengakses kad atau pas dengan lebih mudah dan pantas melalui Google Wallet.