ASUS secara rasmi memperkenalkan konsol mudah alih baru mereka iaitu ROG Ally X. Tampil dengan beberapa peningkatan yang lebih baik berbanding generasi sebelumnya.
Dari segi rekaan, ROG Ally X tampil dengan rekaan yang lebih baik dan lebih ergonomik. Bahagian pemegang kini mempunyai corak untuk memberikan cengkaman yang lebih selamat dan lebih selesa. Butang bahagian belakang turut diubah menjadi lebih kecil untuk mengelakkan masalah tertekan tanpa sengaja. Hadir dengan pilihan warna hitam berbanding warna putih pada model sebelumnya.
Selain itu, ROG Ally X kini dilengkapi dengan konfigurasi RAM yang lebih besar iaitu 24GB LPDDR5X dan bateri yang lebih besar iaitu 80Wh. Sebagai perbandingan, ROG Ally hadir dengan 16GB RAM dan bateri 40Wh. Butang D-Pad dan analog turut diberikan nafas baru dengan rekaan yang lebih baik dan lebih lasak.
Untuk sambungan, tiada lagi port sambungan XG Mobile sebaliknya diganti dengan 2x USB-C iaitu USB 3.2 dan Thunderbolt yang memberikan sokongan yang lebih baik untuk pelbagai sambungan. Sistem penyejukkan turut ditambah baik dengan 23% lebih kecil dengan bilah 50% lebih nipis untuk aliran haba yang lebih baik.
Untuk spesifikasi, ROG Ally X hadir dengan cip AMD Ryzen Z1 Extreme yang dipadankan dengan GPU AMD RDNA 3. Masih menggunakan skrin LCD bersaiz 7-inci dengan paparan 120Hz yang dilindungi dengan Gorilla Glass Victus. Dari segi pengecasan, ia menyokong pengecasan pantas 65W.
Di Eropah, ROG Ally X dijual pada harga sekitar $799 (RM3748) dan ditawarkan dalam satu pilihan warna sahaja iaitu hitam. Tidak dapat dipastikan adakah konsol ini turut tersedia untuk pasaran Malaysia atau sebaliknya.