HONOR Malaysia secara rasmi mengesahkan yang siri HONOR 200 akan diperkenalkan ke pasaran tempatan tidak lama lagi. Lebih menarik, kedua-dua model iaitu HONOR 200 dan 200 Pro akan tersedia untuk pengguna di Malaysia.
Siri HONOR 200 telahpun dilancarkan lebih awal untuk pasaran China. Jika merujuk kepada spesifikasi di China, siri HONOR 200 hadir dengan skrin OLED bersaiz 6.7-inci FHD+, bateri 5200mAh dan pengecasan pantas 100W.
Dikuasakan dengan cip Snapdragon 7 Gen 3 untuk HONOR 200 dan cip Snapdragon 8s Gen 3 untuk HONOR 200 Pro. Menggunakan tetapan tri-kamera belakang dengan sensor utama 50MP + 12MP Ultra Lebar + 50MP Telefoto dan 50MP swafoto.
HONOR mendakwa yang siri HONOR 200 ini mampu menawarkan keupayaan fotografi potret bertaraf studio melalui kerjasama dengan Studio Harcourt dan juga kecerdasan buatan (AI) iaitu HONOR AI Portrait Engine. Buat yang tidak mengetahui, Studio Harcourt adalah sebuah studio fotografi terkenal yang berada di Paris.
Buat masa ini, HONOR Malaysia belum lagi mendedahkan sebarang maklumat mengenai tarikh pelancaran dan ketersediaan peranti ini untuk pasaran tempatan. Seperti biasa, sama-sama kita nantikan.