Infinix Malaysia bakal memperkenalkan siri Infinix NOTE 40 ‘Racing Edition’ pada 19 Jun ini. Seperti namanya, peranti edisi khas ini didatangkan dengan kemasan yang berbeza dengan kerjasama BMW Design Works.
Peranti edisi khas ini menggunakan rekaan Racing Edition dengan 3 warna ikonik BMW iaitu biru-hitam-merah yang diletakkan pada bahagian belakang. Selain itu, ia turut hadir dengan pilihan warna baru iaitu kelabu untuk menjadikan peranti ini nampak lebih premium. Tidak ketinggalan, panel belakang peranti turut mempunyai corak khas yang dipanggil sebagai ‘wing of speed’.
Siri Infinix Note 40 Racing Editon ini akan ditawarkan dalam dua pilihan model iaitu NOTE 40 dan NOTE 40 Pro. Tiada sebarang perubahan dari segi spesifikasi, bermaksud ia kekal menggunakan spesifikasi yang sama seperti model biasa.
Seperti biasa, maklumat lebih lanjut mengenai harga jualan dan ketersediaan peranti ini hanya akan diketahui pada hari pelancarannya kelak. Jadi, sama-sama kita nantikan.