Seperti yang kita tahu, Google akan memperkenalkan peranti andalan mereka yang seterusnya tidak lama lagi. Google dijangka akan memperkenalkan 3 pilihan model iaitu Pixel 9, Pixel 9 Pro dan Pixel 9 Pro XL.
Terbaru, skor penanda aras untuk Pixel 9 dan Pixel 9 Pro XL telahpun tertiris. Sekaligus, memberikan beberapa maklumat awal mengenai peranti tersebut. Untuk Pixel 9 Pro XL, ia hadir dengan cip Tensor G4 yang dipadankan dengan 16GB RAM. Menggunakan konfigurasi 8 teras dengan 1x teras utama 3.10GHz, 3x teras prestasi 2.6GHz dan 4x teras kecekapan 1.95GHz. Dari segi skor, ia mendapat 1378 untuk satu teras dan 3732 untuk pelbagai teras.
Manakala untuk Pixel 9, ia turut dikuasakan dengan cip Tensor G4 namun dipadankan dengan 8GB RAM. Selain itu, ia turut menggunakan konfigurasi 8 teras yang sama iaitu 1 + 3 + 4. Untuk jumlah skor, ia mendapat 1653 untuk satu teras dan 3314 untuk pelbagai teras. Skor satu teras Pixel 9 dilihat lebih tinggi berbanding Pixel 9 Pro XL namun untuk skor teras pelbagai adalah sebaliknya. Kedua-dua model akan menjalankan sistem operasi Android 14.
Menarik mengenai siri Pixel 9 adalah Google membawakan kembali model XL selepas kali terakhir diperkenalkan pada 4 tahun lalu melalui Pixel 4XL. Siri Google Pixel 9 dijangka akan diperkenalkan pada Oktober 2024.