Sub-jenama kepada Nothing iaitu CMF telahpun menjadualkan acara pelancaran fon pertama mereka pada 8 Julai ini. Seiring dengan itu, CMF telah berkongsi beberapa maklumat awal mengenai peranti tersebut.
Dalam perkongsian terbaru, CMF mendedahkan yang panel belakang Phone 1 boleh dibuka sekaligus membolehkan pengguna menukar panel belakang atau bateri dengan lebih mudah. Melalui video yang dikongsi, pengguna hanya perlu membuka skru yang terdapat pada bahagian belakang.
Menariknya, skru untuk membuka panel belakang tersebut akan disertakan bersama dengan SIM ejector tool. Berikutan dari itu, kita mungkin boleh menjangkakan CMF mungkin akan menawarkan pelbagai pilihan rekaan untuk panel belakang yang boleh ditukar.
Selain itu, CMF turut mendedahkan yang peranti ini akan menggunakan skrin jenis Super AMOLED dengan sokongan paparan adaptif sehingga 120Hz. Skrin peranti ini akan turut menyokong kecerahan puncak 2000 nits dan juga HDR10+.
Dengan hari pelancaran yang semakin hampir, kita mungkin boleh menjangkakan lebih banyak maklumat akan dikongsi dari masa ke semasa. Seperti biasa, sama-sama kita nantikan.