Samsung melalui acara Galaxy Unpacked telah memperkenalkan telefon lipat baru mereka iaitu Samsung Galaxy Z Fold6. Tampil dengan pelbagai peningkatan yang lebih baik merangkumi spesifikasi, rekaan dan kecerdasan buatan (AI) melalui Galaxy AI.
Galaxy Z Fold6 hadir dengan rekaan yang sedikit berbeza berbanding model sebelumnya. Menggunakan rekaan yang lebih berkotak dengan rekaan sisi jenis rata. Galaxy Z Fold6 juga lebih ringan dengan 239gram berbanding model sebelumnya 253gram. Selain itu, ia kini menyokong penarafan yang lebih tinggi iaitu IP48 berbanding sebelum ini IPX8.
Tiada perubahan saiz pada skrin utama kekal menggunakan skrin Dynamic OLED 2X bersaiz 7.6-inci dengan resolusi QXGA+ dengan paparan adaptif 1Hz-120Hz. Untuk skrin luar terdapat peningkatan saiz skrin iaitu 6.3-inci Dynamic AMOLED 2X berbanding 6.2-inci sebelum ini. Kedua-dua skrin dilindungi dengan Gorilla Glass Victus 2.
Dikuasakan dengan cip Snapdragon 8 Gen 3 for Galaxy yang dipadankan dengan RAM 12GB dan storan dalaman sehingga 1TB. Samsung mendakwa Galaxy Z Fold6 menawarkan peningkatan prestasi sehingga 41% untuk CPU dan 25% untuk GPU. Dimuatkan dengan kapasiti bateri 4400mAh yang turut menyokong pengecasan pantas 25W yang mampu mengecas 0% ke 50% hanya dalam 30 minit sahaja.
Hadir dengan tetapan tri-kamera iaitu 50MP OIS + 12MP Ultra Lebar + 10MP Telefoto OIS dengan 3x zum optik. Manakala, untuk swafoto ia tampil dengan 4MP di bawah skrin untuk skrin utama dan 10MP untuk skrin kedua.
Tidak ketinggalan, Galaxy Z Fold6 turut dimuatkan dengan pelbagai fungsi kecerdasan buatan yang dijana oleh Galaxy AI. Antaranya seperti chat assist composer, portrait studio, interpreter dan dan lain-lain. Untuk chat assist composer, ia membantu dalam penulisan dan juga meringkaskan artikel ke dalam bentuk yang lebih untuk difahami. Potrait studio pula, membolehkan anda menghasilkan atau mencipta imej yang lebih menarik berdasarkan imej. Manakala Intrepreter pula, menterjemahkan perbualan dalam masa nyata sekaligus dapat mewujudkan komunikasi dua hala yang lebih baik.
Samsung turut menambah baik fungsi S-Pen yang kini turut dijana dengan Galaxy AI. Melaluinya, AI akan menjana imej berdasarkan lukisan atau perkataan yang dibuat menggunakan S-Pen. Pengguna mempunyai pelbagai pilihan berdasarkan dari hasil tersebut.
Spesifiasi lain yang turut dibawakan adalah seperti pembesar suara jenis stereo, Bluetooth 5.3, NFC, Wi-Fi 6E, Samsung Knox dan menjalankan sistem operasi One UI 6.1.1 yang berasaskan Android 14.
Di Malaysia, Galaxy Z Fold6 dijual pada harga bermula RM7299 untuk 12GB + 256GB, RM7899 untuk 12GB + 512GB dan RM9099 untuk 12GB + 1TB. Ditawarkan dalam lima pilihan warna iaitu Silver Shadow, Pink, Navy, Crafted Black dan White. Pra-tempah peranti ini telahpun dibuka bermula hari ini sehingga 30 Julai 2024.