Samsung telahpun memperkenalkan fon lipat generasi baru mereka iaitu Galaxy Z Fold6. Di Malaysia, Galaxy Z Fold6 boleh dikatakan antara fon lipat yang popular dalam segmennya.
Walaubagaimanapun, terdapat beberapa perkara yang perlu dinilai sekiranya anda merancang untuk menjadikan Galaxy Z Fold6 sebagai peranti anda yang seterusnya. Jadi, kami ingin berkongsi 3 perkara menarik dan kurang menarik pada Samsung Galaxy Z Fold6.
3 Perkara Menarik
Rekaan
Tidak dinafikan, jika dilihat dengan sekali pandang rekaan Galazy Z Fold6 mirip seperti Galaxy Z Fold5. Namun, sebenarnya terdapat beberapa perubahan yang dilakukan oleh Samsung untuk menjadi rekaan Galaxy Z Fold6 lebih baik berbanding model sebelumnya.
Galaxy Z Fold6 menggunakan rekaan yang lebih berkotak dengan rekaan sisi jenis rata. Apa yang boleh dikatakan, rekaan body Galaxy Z Fold6 ini dilihat mirip seperti pada siri Galaxy S24. Selain itu, Galaxy Z Fold6 kini 14gram lebih ringan iaitu 239gram berbanding model sebelumnya 253gram.
Samsung turut menambah baik sokongan penarafan yang lebih tinggi iaitu IP48 berbanding IPX8 pada model sebelumnya. Tidak ketinggalan, Galaxy Z Fold6 kini menggunakan teknologi dual rail hinge untuk memberi ketahanan yang lebih baik dan lebih kukuh.
Prestasi
Sekiranya anda mementingkan prestasi maka Galaxy Z Fold6 adalah peranti yang tepat. Dikuasakan dengan cip Snapdragon 8 Gen 3 For Galaxy yang digabungkan dengan 12GB RAM dan storan dalaman sehingga 1TB.
Kemampuan cip ini mungkin tidak perlu diulas terlalu panjang. Merupakan cip andalan paling baru yang dihasilkan oleh Qualcomm. Jadi, cip ini sememangnya sangat berkuasa dan berada dalam kelasnya yang tersendiri.
Samsung mendakwa yang Galaxy Z Fold6 menawarkan peningkatan prestasi CPU sehingga 41% dan 25% untuk prestasi GPU berbanding model sebelumnya. Dengan spesifikasi sebegini, ia semestinya menjanjikan pengalaman penggunaan yang lancar tanpa sebarang masalah.
Galaxy AI
Samsung boleh dikatakan sebagai pengeluar terawal yang mengintergrasikan keupayaan AI pada peranti mereka melalui Galaxy AI. Model pertama yang hadir dengan Galaxy AI adalah siri Galaxy S24.
Untuk menjadikan Galaxy Z Fold6 lebih istimewa, Samsung telah membawakan fungsi Galaxy AI baru bagi meningkatkan lagi produktiviti dan memudahkan urusan seharian pengguna.
Antara fungsi baru yang dibawakan adalah seperti chat assist composer, potrait studio, intrepreter dan dan lain-lain. Untuk Chat assist composer, ia membantu dalam penulisan dan juga meringkaskan artikel ke dalam bentuk yang lebih untuk difahami. Potrait studio pula, membolehkan anda menghasilkan atau mencipta imej yang lebih menarik berdasarkan imej. Manakala Intrepreter pula, menterjemahkan perbualan dalam masa nyata sekaligus dapat mewujudkan komunikasi dua hala yang lebih baik.
Samsung turut menambah baik keupayaan S-Pen dengan membawa fungsi Sketch to image. Melaluinya, AI akan menjana imej berdasarkan lukisan atau perkataan yang dibuat menggunakan S-Pen. Lebih menarik, pengguna mempunyai pelbagai pilihan berdasarkan dari hasil tersebut seperti Comic, 3D Cartoon, Watercolour dan Sketch.
3 Perkara Kurang Menarik
Pengecasan
Kami menjangkakan yang Samsung mungkin akan menggunakan pengecasan yang lebih pantas pada Galaxy Z Fold6. Namun, perkara tersebut tidak berlaku. Kami berpendapat, Samsung sekurang-kurangnya meletakkan pengecasan 45W pada Galaxy Z Fold6.
Pada ketika ini, kebanyakkan pengeluar menyertakan pengecasan pantas yang lebih tinggi pada peranti andalan mereka. Berbeza dengan Samsung yang kekal menggunakan pengecasan yang sama iaitu 25W. Mungkin Samsung mempunyai sebab tersendiri untuk mengekalkan pengecasan yang sama atau pengecasan yang lebih pantas mungkin akan tersedia pada Galaxy Z Fold7.
Galaxy Z Fold6 dimuatkan dengan bateri 4400mAh yang menyokong pengecasan pantas 25W berwayar, 15W tanpa wayar dan 5W untuk reverse wireless charging.
Kamera
Seperti juga pengecasan, kemampuan kamera pada Galaxy Z Fold6 juga tiada sebarang perubahan. Bermaksud, ia kekal menggunakan tetapan kamera yang sama iaitu 50MP OIS + 12MP Ultra Lebar + 10MP Telefoto OIS dengan 3x zum optik.
Dengan menggunakan tetapan kamera yang sama, kita mungkin boleh menjangkakan hasil yang diberikan juga sama. Namun begitu, kemampuan kamera pada Galaxy Z Fold6 boleh dikatakan setanding peranti andalan lain. Kita mungkin boleh mengharapkan yang Samsung akan menawarkan kemampuan kamera yang lebih baik pada generasi Galaxy Z Fold yang seterusnya.
Harga
Tidak dinafikan harga jualan fon lipat masih lagi tidak berapa mesra poket. Namun, jika dibandingkan dengan beberapa pengeluar lain dalam segmen yang sama, harga jualanya dilihat sedikit lebih murah berbanding Samsung.
Pada ketika ini, harga jualan Galaxy Z Fold6 bermula dari RM7299 untuk varian asas dan menceah sehingga RM9099 untuk varian paling tinggi. Namun, sekiranya harga bukan penghalang Galaxy Z Fold6 adalah pilihan terbaik yang ada di pasaran ketika ini.