Close

Ulasan Samsung Galaxy Buds3 Pro – Kombinasi baru yang lebih menarik

Samsung Malaysia telahpun memperkenalkan TWS andalan mereka iaitu Galaxy Buds3 Pro. TWS ini tampil dengan idea yang berbeza dalam masa yang sama masih menawarkan pelbagai peningkatan yang menarik.

Rekaan

Galaxy Buds3 Pro ternyata berbeza dari TWS yang pernah dihasilkan oleh Samsung. Hadir dengan rekaan baru yang dipanggil sebagai Blade Design. Rekaan ini menjadikan ia nampak lebih moden dan lebih menarik berbanding model sebelumnya. Bukan itu sahaja, terdapat rekaan lutsinar yang diletakkan pada penutup bekas pengecas. Rekaan ini menjadikan Galaxy Buds3 Pro lebih menonjol yang turut memperlihatkan earbuds yang diletakkan pada bahagian dalam.

Selain itu, rekaan earbuds kini tampil dengan rekaan jenis bertangkai berbentuk seperti prisma. Rekaan ini boleh dikatakan menarik namun terdapat kekurangan jika anda gemar menggunakan earbuds ketika baring. Namun, perkara tersebut adalah subjektif dan bergantung kepada penggunaan masing-masing.

Untuk menjadikan earbuds ini lebih menonjol, Samsung meletakkan lampu blade light yang akan menyala apabila dimasukkan ke dalam bekas pengecas. Pengguna juga boleh mengawal lampu ini melalui earbuds light controls dan akan menyala secara automatik apabila bateri bawah 30%. Selain itu, setiap earbuds mempunyai kemasan berwarna pada bahagian bawah iaitu biru untuk kiri dan jingga untuk kanan, yang mana kemasan tersebut turut dipadankan pada bekas pengecas.

Galaxy Buds3 Pro ditawarkan dalam 2 pilihan warna iaitu Silver dan White. Kedua-dua pilihan warna ini hadir dengan kemasan yang berbeza. Untuk Silver ia menggunakan kemasan jenis kesat manakala White menggunakan kemasa jenis licin. Sejujurnya, kami lebih menyukai kemasan jenis kesat kerana ia memberikan cengkaman yang lebih baik dan kurang meninggalkan kesan cap jari.

Secara keseluruhan, rekaan Galaxy Buds3 Pro adalah menarik dan ergonomik sesuai untuk digunakan dalam jangka masa yang panjang. Tidak ketinggalan, rekaan bekas pengecas juga kini lebih elegan dan lebih moden dengan elemen lutsinar dan sedikit kemasan berwarna. Selain itu, ia turut menyokong penarafan IP57 sekaligus sesuai untuk pengguna dengan gaya hidup yang aktif.

Kualiti Bunyi

Kualiti bunyi pada Galaxy Buds3 Pro antara yang terbaik dalam kelasnya. Samsung telah melakukan pelbagai penambahbaikan untuk menjadikan kualiti bunyi yang diberikan menjadi lebih jelas dan lebih terperinci. Hadir dengan sistem 2-way speakers dengan 10.5mm dynamic driver dan tweeter planar bersaiz 6.1mm. Selain itu, ia turut menyokong Dual Amplifier untuk memberikan hasil audio yang lebih baik.

Pada percubaan kami, pelbagai genre muzik telah kami cuba dan apa yang boleh dikatakan Galaxy Buds3 Pro mempunyai karakternya tersendiri dengan kualiti bunyi yang dihasilkan sememangnya baik, seimbang dan terperinci. Setiap instrumen yang dimainkan dapat didengar dengan jelas dan terperinci serta frekuensi bass dapat dikawal dengan baik. Bukan itu sahaja, peranti ini turut menawarkan kualiti bunyi yang imersif untuk permainan dan juga menonton kandungan video.

Selain itu, peranti ini turut menyokong pelbagai tetapan Equaliser seperti smooth, clear, bass boost, dynamic, treble boost, balanced dan custom. Untuk custom, pengguna boleh menetapkan profil bunyi yang tersendiri yang menepati citarasa anda. Galaxy Buds3 Pro mempunyai tiga mikrofon secara terbina sekaligus menawarkan pengalaman panggilan suara yang lebih baik, lebih jelas dan dapat mengurangkan bunyi bising ketika bercakap.

Tidak ketinggalan, Galaxy Buds3 Pro turut dilengkapi dengan fungsi Active Noise Cancellation (ANC) yang dipertingkat. Yang mana, ia mampu bertindak secara automatik untuk menukar mod ANC kepada mod Ambient sebaik pengguna mula bercakap. Selain itu, ia turut hadir dengan fungsi 360 Audio dan Direct Multi-Channel untuk pengalaman audio yang lebih baik. Dari segi sokongan codec, ia menyokong pelbagai jenis codec antaranya 24bit HiFi, SSC, SSC UHQ, AAC dan SBC.

Kawalan dan aplikasi

Galaxy Buds3 Pro menyokong dua jenis kawalan iaitu swipe dan pinch. Kedua-dua kawalan ini menawarkan fungsi yang berbeza. Untuk swipe, ia membolehkan pengguna mengawal kelantangan bunyi. Manakala untuk pinch, ia menawarkan kawalan yang lebih banyak seperti play and pause, tukar mod ANC, jawab panggilan dan melancarkan aplikasi kegemaran.

Untuk menyokong lebih banyak fungsi menarik pada Galaxy Buds3 Pro, anda digalakkan untuk memasang aplikasi Galaxy Wearable. Bagi peranti Samsung, ia tersedia secara terbina manakala untuk peranti lain ia perlu dimuat turun melalui Play Store atau App Store. Aplikasi ini membolehkan pengguna mengawal lebih banyak tetapan sekaligus memberikan pengalaman yang lebih baik.

Tidak ketinggalan, Samsung turut menyertakan fungsi Galaxy AI pada Galaxy Buds3 Pro. Antara fungsi yang dibawakan adalah seperti live translate dan interpreter. Untuk live translate, ia menterjemahkan bahasa dalam masa nyata. Manakala interpreter pula, sama seperti live translate tetapi untuk perbualan secara bersemuka. Kedua-dua fungsi ini akan memaparkan perbualan yang diterjemah pada skrin telefon yang disambungkan dengan Galaxy Buds3 Pro.

Bateri

Samsung mendakwa yang Galaxy Buds3 Pro ini mampu bertahan sehingga 6 jam dengan mod ANC diaktifkan dan 7 jam dengan mod ANC dimatikan untuk penggunaan berterusan. Untuk penggunaan dengan bekas pengecas, ia mampu bertahan sehingga 26 jam dengan mod ANC diaktifkan dan meningkat kepada 30 jam dengan mod ANC dimatikan.

Pada percubaan kami, jangka hayat bateri pada Galaxy Buds3 Pro boleh dikatakan baik dan setanding dengan TWS andalan lain. Pada sesetengah keadaan ia mampu bertahan lebih dari apa yang ditawarkan. Namun begitu, perkara tersebut bergantung kepada cara penggunaan. Untuk pengecasan, ia menggunakan pengecasan jenis USB-C yang tersedia di dalam kotak dan turut menyokong pengecasan tanpa wayar.

Kesimpulan

Secara keseluruhan, Galaxy Buds3 Pro boleh dikatakan sebagai TWS yang memenuhi semua kriteria yang diperlukan oleh kebanyakan pengguna. Hadir dengan pakej yang lengkap merangkumi rekaan yang ergonomik, spesifikasi yang menarik dan fungsi yang dikuasakan oleh Galaxy AI.

Jadi, sekiranya anda mencari TWS yang mempunyai kombinasi prestasi dan kualiti yang terbaik dalam kelasnya, Galaxy Buds3 Pro adalah jawapannya.

ARTIKEL BERKAITAN