Fon lipat baru dari HONOR iaitu Magic V3 dikesan melepasi SIRIM Malaysia. Sekaligus, memberikan gambaran peranti tersebut akan tiba secara rasmi ke pasaran tempatan.
Peranti tersebut dikesan melepasi pengesahan SIRIM Malaysia pada 29 Julai 2024 dengan nombor model FCP-N49 (HONOR Magic V3) dan didaftarkan di bawah HONOR Technology (Malaysia) Sdn Bhd. Lebih menarik, HONOR Malaysia telahpun membuka daftar minat kepada pengguna untuk mencuba peranti ini lebih awal. Selain itu, pengguna turut berpeluang untuk memenangi hadiah percuma Magic V3.
Magic V3 telahpun diperkenalkan lebih awal di pasaran China. Hadir dengan skrin utama 7.92-inci OLED LTPO dan skrin kedua bersaiz 6.43-inci OLED LTPO. Kedua-dua skrin menyokong paparan adaptif 120Hz, HDR Vivid, ZREAL dan Dolby Vision.
Dikuasakan dengan cip Snapdragon 8 Gen 3 yang dipadankan dengan 16GB RAM LPDDR5X dan storan dalaman sehingga 1TB UFS 4.0. Dimuatkan dengan bateri 5150mAh yang menyokong pengecasan 66W berwayar dan 50W tanpa wayar.
Namun begitu, tidak dapat dipastikan adakah spesifikasi sama akan digunakan atau sebaliknya. Buat masa ini, tiada sebarang maklumat mengenai spesifikasi dan ketersediaan yang dikongsi oleh HONOR Malaysia.