Close

SKMM – Pengguna tak perlu mohon lesen media sosial

Sebelum ini, kerajaan telah mengumumkan perlaksanaan lesen untuk media sosial dan permesejan yang beroperasi di Malaysia.

Dalam perkembangan terbaru, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyatakan perlaksanaan lesen tersebut hanya terpakai pada platform media sosial sahaja dan tidak melibatkan pengguna. Bermaksud, pengguna tidak perlu memohon lesen untuk menggunakan platform tersebut.

SKMM turut berkongsi perincian mengenai kerangka kawal selia untuk media sosial yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2025. Semua platform media sosial yang mempunyai sekurang-kurangnya 8 juta pengguna perlu memohon Lesen Khas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi di bawah akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Kegagalan mana-mana perkhidmatan memperoleh lesen selepas tarikh kuat kuasa adalah satu kesalahan dan tindakan sewajarnya akan dikenakan. Selain itu, semasa tempoh penangguhan (grace period) dari 1 Ogos 2024 sehingga 31 Disember 2024, SKMM akan membangunkan garis panduan yang perlu dipatuhi oleh pemberi perkhidmatan di Malaysia.

Pemberi perkhidmatan juga perlu memperkenalkan langkah berkaitan pelindungan data, pengesahan umur dan prosedur aduan pengguna. Selain itu, pemberi perkhidmatan perlu memberikan penekanan terhadap kandungan berbahaya yang dijana oleh AI.

SKMM sekali lagi menegaskan perlaksanaan ini tidak memberi kesan kepada pengguna, hanya pemberi perkhidmatan seperti Facebook, Facebook Messenger, Instagram, Telegram, TikTok, WeChat, WhatsApp, X dan YouTube sahaja yang perlu mendapatkan lesen.

(Sumber)

ARTIKEL BERKAITAN