Seperti yang kita tahu, siri Pixel 9 akan dikuasakan dengan cip terbaru dari Google iaitu Tensor G4.
Terbaru, spesifiksi cip Tensor G4 dilaporkan telah tertiris sekaligus mengesahkan beberapa maklumat mengenainya. Berdasarkan dari maklumat tersebut, cip terbaru dari Google iaitu Tensor G4 tidak menawarkan peningkatan yang ketara berbanding cip Tensor G3.
Secara keseluruhan, cip Tensor G4 hanya menawarkan peningkatan prestasi sebanyak 11% pada satu teras dan 3% untuk multi teras. Selain itu, cip ini kekal menggunakan GPU yang sama iaitu Mali-G715 namun dengan kelajuan yang lebih tinggi 940MHz berbanding 890MHz pada cip Tensor G3.
Dari segi konfigurasi, cip Tensor 4G hadir dengan konfigurasi 8 teras iaitu 4x Cortex-A520 + 3x Cortex-A720 + 1x Cortex-X4. Sebagai perbandingan, cip Tensor G3 menggunakan konfigurasi 9 teras iaitu 4x Cortex-A510 + 4x Cortex-A715 + 1x Cortex-X3. Namun begitu, cip ini akan menyokong komunikasi satelit melalui modem baru iaitu Exynos 5400.
Perubahan ketara pada cip Tensor hanya akan bermula pada tahun depan melalui Tensor G5. Cip baru ini tidak lagi dihasilkan oleh Samsung sebaliknya dihasilkan oleh TSMC secara sepenuhnya. Selain itu, buat pertama kalinya siri Pixel 9 akan ditawarkan secara rasmi untuk pasaran tempatan.