MediaTek secara rasmi memperkenalkan cip kelas permulaan baru mereka iaitu Helio G100. Secara asasnya, cip ini membawakan spesifikasi yang hampir sama dengan cip Helio G99.
Cip Helio G100 dibina menggunakan teknologi binaan 6nm dari TSMC. Hadir dengan konfigurasi 8 teras dengan 2x Cortex-A76 dengan kelajuan 2.2GHz + 6x Cortex-A55 dengan kelajuan 2.0GHz. Dipadankan dengan GPU Mali-G57 MC2.
Cip ini menyokong teknologi memori dengan RAM LPDDR4X dan storan dalaman UFS 2.2. Selain itu, ia menyokong skrin dengan resolusi 2520 x 1080 dan juga paparan 120Hz. Peningkatan paling ketara pada cip ini adalah ia kini menyokong kamera tunggal sehingga 200MP dan boleh melakukan tangkapan dwi-kamera 16MP + 16MP. Dari segi rakaman video, cip ini menyokong rakaman video sehingga 2K dengan 30fps.
Untuk rangkaian, cip ini menyokong fungsi Elevator Mode yang membolehkan rangkaian disambungan dengan lebih cepat apabila melalui ruang tanpa liputan seperti lif atau terowong. Spesifikasi lain yang turut dibawakan adalah seperti Bluetooh 5.2, Wi-Fi 5 dan MediaTek HyperEngine.