realme dijangka akan memperkenalkan peranti andalan mereka yang seterusnya iaitu GT7 Pro tidak lama lagi. Menariknya, peranti ini dikatakan akan menyokong teknologi pengecasan yang lebih pantas berbanding generasi sebelumnya.
Menurut laporan, realme dijangka akan memperkenalkan teknologi pengecasan pantas baru yang menyokong sehingga 300W. Teknologi pengecasan ini akan dimuatkan pada realme GT7 Pro. Namun begitu, tiada maklumat lanjut yang dikongsi mengenai teknologi pengecasan tersebut.
Teknologi pengecasan pantas bukan perkara baru pada realme. Sebelum ini, realme telahpun menggunakan pengecasan pantas 240W pada realme GT5 yang mampu mengecas dari 0% hingga ke 100% hanya dalam 11 minit sahaja.
Laporan tersebut turut mendedahkan beberapa maklumat lain mengenai peranti tersebut antara ia akan menyokong penarafan IP69 dan menyokong pengimbas cap jari jenis ultrasonik. Sekaligus, menjadikan ia peranti realme terawal yang menyokong penarafan dan teknologi pengimbas cap jari yang lebih maju.
Buat masa ini, realme belum lagi mendedahkan sebarang maklumat mengenai ketibaan peranti ini.