realme bakal memperkenalkan teknologi pengecasan pantas baru pada 14 Ogos ini. Teknologi pengecasan baru ini dikatakan akan menjadi yang terpantas di dunia.
Pada acara ini, realme tidak hanya akan memperkenalkan teknologi pengecasan pantas baru tetapi akan turut berkongsi mengenai inovasi dan perancangan mengenai perkembangan pengecasan pantas yang dibangunkan oleh mereka.
Malangnya, tiada sebarang maklumat yang dikongsi mengenai teknologi pengecasan pantas yang akan diperkenalkan. Namun, terdapat laporan menyatakan ia berkemungkinan adalah pengecasan pantas 300W. Teknologi pengecasan ini dijangka akan dimuatkan pada peranti andalan mereka yang seterusnya iaitu realme GT7 Pro.
Teknologi pengecasan pantas bukan perkara baru pada realme. Sebelum ini, realme telahpun menggunakan pengecasan pantas 240W pada realme GT3 yang mampu mengecas dari 0% hingga ke 100% hanya dalam 11 minit sahaja.
Seperti biasa, maklumat lebih tepat mengenai teknologi pengecasan ini hanya akan diketahui pada acara pelancarannya. Jadi, sama-sama kita nantikan.