Google buat pertama kalinya menawarkan dua pilihan saiz untuk model Pro iaitu Pixel 9 Pro dan 9 Pro XL. Yang mana, kedua-dua model ini hanya dibezakan dengan saiz skrin dan kapasiti bateri.
Untuk Pixel 9 Pro, ia hadir dengan skrin OLED bersaiz 6.3-inci dan bateri 4700mAh. Manakala, Pixel 9 Pro XL pula hadir dengan skrin OLED bersaiz 6.8-inci dan bateri 5000mAh. Kedua-dua model ini, menggunakan skrin Super Actua, paparan 120Hz, kecerahan puncak 3000 nits dan dilindungi dengan Gorilla Glass Victus 2.
Dikuasakan dengan cip Google Tensor G4 yang dipadankan dengan 16GB RAM dan storan dalaman sehingga 1TB. Menggunakan tetapan tri-kamera belakang dengan sensor utama 50MP + 48MP Ultra Lebar + 48MP Teletofo dan swafoto 42MP. Peranti ini turut hadir dengan pelbagai fungsi AI yang dikuasakan melalui Gemini Nano seperti Add Me, Gemini Live, Call Notes, Pixel Studio, Magic Editor dan lain-lain.
Spesifikasi lain yang turut ditawarkan adalah seperti WiFi 7, Bluetooth 5.3, NFC, penarafan IP68, Titan M2 security dan menyokong kemas kini sehingga 7 tahun. Tidak ketinggalan, peranti ini turut menyokong komunikasi melalui SOS satelit yang boleh digunakan untuk menghantar mesej kecemasan. Dari segi pengecasan, kedua-dua peranti ini menyokong pengecasan 45W.
Di Malaysia, Pixel 9 Pro dijual pada harga RM51999 (128GB), RM5699 (256GB) dan RM6299 untuk 512GB. Untuk Pixel 9 Pro XL, ia dijual pada harga RM5699 (128GB), RM6199 (256GB), RM6799 (512GB) dan RM7999 (1TB). Ditawarkan dalam 4 pilihan warna iaitu Obsidian, Porcelain, Rose Quartz dan Hazel. Peranti ini boleh dipra-tempah bermula hari ini dan jualan pertama akan bermula pada 21 Ogos ini.
Buat masa ini, Google Pixel ditawarkan melalui pengedar rasmi dan tiada Official Google service sentre di Malaysia. Berikutan itu, proses tuntutan jaminan perlu dibuat melalui pengedar rasmi. Namun begitu, Official Google service centre dijangka akan dibuka dalam masa terdekat.