Google turut memperkenalkan generasi baru fon lipat mereka iaitu Pixel 9 Pro Fold. Tampil dengan pelbagai peningkatan dari segi rekaan dan juga spesifikasi yang lebih berkuasa.
Pixel 9 Pro Fold hadir dengan skrin luar bersaiz 6.3-inci OLED dengan nisbah 20:9 dan paparan 120Hz. Skrin utama bersaiz 8.0-inci LTPO OLED dengan paparan 120Hz. Kedua-dua skrin ini menyokong kecerahan puncak sehingga 2700 nits iaitu 80% lebih baik berbanding generasi sebelumnya.
Peranti ini mempunyai berat sekitar 257 gram dengan tebal 10.5mm apabila ditutup dan 5.1mm apabila dibuka. Dikuasakan dengan cip Google Tensor G4 yang dipadankan dengan 16GB RAM dan storan dalaman sehingga 512GB.
Menggunakan tetapan tri-kamera dengan sensor utama 48MP + 10.5MP Telefoto + 10.5MP Ultra lebar. Untuk swafoto, ia hadir dengan sensor 10MP yang diletakkan pada skrin luar dan utama. Dimuatkan dengan bateri 4650mAh yang menyokong pengecasan 21W.
Peranti ini turut hadir dengan pelbagai fungsi AI yang dikuasakan melalui Gemini Nano seperti Add Me, Gemini Live, Call Notes, Pixel Studio, Magic Editor dan lain-lain. Spesifikasi lain yang turut hadir adalah seperti penarafan IPX8, SOS satelit, WiFI 7, NFC dan menyokong kemas kini sehingga 7 tahun.
Di Amerika Syarikat, Pixel 9 Pro Fold dijual pada harga sekitar $1799 (RM8008) untuk 256GB dan $1919 (RM8542) untuk 512GB. Google telah mengesahkan peranti ini tidak akan ditawarkan untuk pasaran tempatan.