Pico secara rasmi memperkenalkan set kepala realiti baru mereka iaitu Pico 4 Ultra. Tampil dengan pelbagai peningkatan yang lebih baik berbanding model sebelumnya.
Pico 4 Ultra hadir dengan berat sekitar 304 gram yang dipadankan dengan dua alat kawalan yang lebih kecil untuk menjadikan ia lebih selesa. Selain itu, ia menyokong sistem haptik HyperSense yang lebih baik dan lebih responsif.
Dikuasakan dengan cip Snapdragon XR2 Gen 2 yang digabungkan dengan 12GB RAM LPDDR5 dan storan dalaman 256GB UFS 3.1. Dilengkapi dengan skrin bersaiz 2.56-inci dengan resolusi 2160 x 2160. Turut menyokong paparan 90Hz dengan sudut pandangan 105°.
Dimuatkan dengan bateri 5700mAh yang menyokong pengecasan pantas 45W. Peranti turut menyokong audio spatial, sistem pembesar suara stereo, 4 mikrofon secara terbina dan kamera dengan sensor 32MP.
Pico 4 Ultra boleh disambungkan secara serentak pada peranti lain seperti komputer atau peranti pintar melalui aplikasi Pico Connect. Set kepala realiti ini menjalankan sistem operasi berasaskan Android dan menyokong WiFi 7 untuk sokongan rangkaian yang lebih baik.
Buat masa ini, Pico 4 Ultra hanya ditawarkan untuk pasaran China dengan harga jualan sekitar CNY4299 (RM2646). Tidak dapat dipastikan adakah peranti ini turut ditawarkan untuk pasaran global atau sebaliknya.