Close

3 perkara menarik dan kurang menarik pada siri iPhone 16

Apple telahpun memperkenalkan generasi iPhone yang seterusnya iaitu siri iPhone 16. Seperti kebiasaan, ia ditawarkan dalam 4 pilihan model iaitu iPhone 16, iPhone 16 Plus, iPhone 16 Pro dan iPhone 16 Pro Max.

Jadi, sekiranya anda merancang untuk menjadikan siri iPhone 16 sebagai peranti anda yang seterusnya. Kami ingin berkongsi 3 perkara menarik dan kurang menarik pada siri iPhone 16.

3 perkara menarik

Cip baru pada semua model

Jika sebelum ini, perbezaan cip pada model biasa dan model Pro untuk siri iPhone 15 boleh dikatakan agak ketara. Untuk model biasa, ia menggunakan cip A16 Bionic yang digunakan pada iPhone 14 Pro. Manakala, untuk model Pro ia menggunakan cip A17 Pro yang lebih baru dan berkuasa.

Untuk siri iPhone 16, Apple menggunakan cip dari barisan yang sama iaitu cip A18 untuk model biasa dan cip A18 Pro untuk model Pro. Biarpun kedua-dua cip ini bukan dari kelas yang sama namun sekurang-kurangnya perbezaan prestasi dan teknologi yang digunakan tidak begitu ketara seperti mana cip A16 Bionic dan cip A17 Pro.

Perbezaan ketara pada cip A18 dan A18 Pro adalah pada konfigurasi GPU. Untuk cip A18 ia menggunakan GPU 5 teras manakala cip A18 Pro menggunakan GPU 6 teras. Dari segi prestasi, ia menawarkan peningkatan sekitar 20% dan 30% lebih jimat kuasa. Untuk prestasi NPU, kedua-dua cip menggunakan NPU 16 teras untuk kemampuan Apple Intelligence yang setaraf.

Butang tambahan ‘Camera Control’

Apple membawakan butang tambahan baru pada siri iPhone 16 yang dipanggil sebagai Camera Control. Seperti namanya, butang ini membolehkan pengguna mengakses kamera dengan lebih pantas dan mudah. Bukan itu sahaja, ia butang ini turut menyokong pelbagai kawalan seperti zum, mod kamera, tetapan apertur dan merakam video.

Butang tambahan ini menggunakan teknologi kapasitif yang mempunyai sensor khas untuk mengesan tindak balas haptic. Teknologi ini memberikan pengalaman yang lebih menarik seperti menggunakan sebuah kamera digital dengan butang fizikal.

Pengecasan lebih pantas 45W

Apple akhirnya menyokong pengecasan berwayar yang lebih pantas iaitu 45W pada siri iPhone 16. Sebagai perbandingan, siri iPhone 15 hanya menyokong pengecasan maksimum sekitar 27W hingga 29W sahaja.

Namun begitu, pengecasan maksimum 45W hanya dapat dicapai pada kadar bateri 50% hingga 80% dan kelajuannya akan menurun apabila hampir penuh. Selain itu, kelajuan purata yang dicapai untuk pengecasan ini adalah sekitar 38W. Peningkatan pengecasan yang ditawarkan pada siri iPhone 16 adalah 50% lebih pantas berbanding model sebelumnya.

3 perkara kurang menarik

Skrin masih 60Hz

Apple nampaknya masih kekal dengan pendirian mereka untuk menggunakan paparan 60Hz pada iPhone 16 dan 16 Plus. Kita sudah pun berada di tahun 2024 namun Apple masih tidak menawarkan paparan 120Hz seperti mana pada iPhone 16 Pro dan 16 Pro Max.

Sebelum pelancaran siri iPhone 16, kami menjangkakan semua iPhone 16 akan mula menyokong paparan ProMotion namun sebaliknya. Dengan harga jualannya yang mencecah sekitar RM4000 ia mungkin boleh dikatakan sebagai pelik dan tidak masuk akal.

Rekaan kitar semula

Apple masih menggunakan rekaan yang sama untuk pada iPhone 16 Pro dan 16 Pro Max. Yang mana, rekaan tersebut mula digunakan pada 2019 melalui model iPhone 11. Bermaksud, rekaan yang sama telah digunakan selama 6 tahun.

Berbeza dengan iPhone 16 dan 16 Plus, terdapat sedikit perubahan pada rekaan kamera belakang. Namun, ia bukanlah rekaan baru sebaliknya rekaan tersebut telahpun digunakan pada iPhone X yang diperkenalkan pada tahun 2017. Pada pemerhatian kami, Apple gemar untuk menggunakan rekaan yang sama atau mengitar semula rekaan yang pernah digunakan.

Penghantaran data perlahan

Berita gembira adalah siri iPhone 16 kini menyokong pengecasan 45W. Namun, berita kurang gembira adalah model biasa hanya menyokong teknologi USB 2.0 bukannya USB 3.0 seperti model Pro.

Kekurangan paling besar pada teknologi USB 2.0 adalah ia hanya menyokong pemindahan data 480 Mbps sahaja. Sementara, USB 3.0 menyokong pemindahan data 20x lebih pantas iaitu 10Gbps. Teknologi USB 2.0 mula diperkenalkan pada tahun 2000, selepas 24 tahun Apple masih menggunakan teknologi ini pada iPhone 16 dan 16 Plus.

ARTIKEL BERKAITAN