Penganalisis terkenal iaitu Ming Chi-Kuo, menyatakan permintaan untuk iPhone 16 Pro dan iPhone 16 Pro Max adalah lebih rendah daripada jangkaan.
Menurut beliau, permintaan untuk siri iPhone 16 menurun sekitar 13% berbanding iPhone 15 pada tahun lalu. Antara faktor permintaan yang lebih rendah untuk siri iPhone 16 adalah penurunan permintaan untuk iPhone 16 Pro dan 16 Pro Max iaitu sekitar 27% dan 16%. Pada tahun lalu, iPhone 15 Pro menjadi penyumbang terbesar kepada permintaan siri iPhone 15.
Namun begitu, permintaan untuk iPhone 16 dan 16 Plus dilihat meningkat kepada 10% dan 48% berbanding iPhone 15 dan 15 Plus pada tahun lalu. Walau bagaimanapun, permintaan lebih tinggi untuk model biasa tidak dapat mengimbangi penurunan ketara permintaan model Pro.
Selain itu, penurunan permintaan untuk iPhone 16 Pro dan 16 Pro Max disebabkan oleh kelewatan ketibaan Apple Intelligence. Persaingan sengit yang dihadapi oleh iPhone di China juga menjadi faktor kepada penurunan tersebut.