Qualcomm dilaporkan berminat untuk membeli atau mengambil alih Intel. Namun begitu, buat masa ini perkara tersebut dikatakan sebagai jauh dari pasti.
Qualcomm yang merupakan syarikat pengeluar cip dikatakan berminat untuk mengambil alih Intel. Walau bagaimanapun, tiada sebarang tawaran rasmi yang dibuat oleh Qualcomm untuk Intel buat masa ini.
Sekiranya perkara ini berlaku, ia bakal menyaksikan penggabungan terbesar dalam dunia teknologi dan peralihan besar-besaran bagi Qualcomm. Lebih menarik, penggabungan ini akan membantu Qualcomm berkembang dengan lebih pantas dalam arena PC AI Microsoft yang baru disertainya. Pada ketika ini, Qualcomm telahpun menguasai sebahagian besar pasaran cip peranti mudah alih.
Intel yang mempunyai nilai pasaran sekitar $90 bilion dilaporkan menghadapi krisis yang teruk menyebabkan saham syarikat merosot sekitar 56% pada tahun ini. Berikutan itu, beberapa langkah telah diambil oleh Intel seperti penstrukturan semula syarikat dan pengurangan tenaga kerja.
Selain itu, peralihan Apple kepada cip berasaskan seni bina ARM dan masalah cip yang melanda Intel menyebabkan syarikat tersebut berada di situasi yang sukar.