Volvo Malaysia kini sedia untuk menawarkan kereta elektrik (EV) baru ke pasaran tempatan melalui model EX30. Merupakan sebuah EV kompak dan hadir dengan 3 pilihan varian iaitu EX30 Plus, EX30 Ultra dan EX30 Ultra Twin Perfomance.
Volvo EX30 dibina menggunakan platform Geely SEA 2 yang mana ia turut digunakan pada Smart #1 dan Zeekr X. Untuk EX30 Plus dan Ultra ia hadir dengan motor tunggal (RWD) yang mampu menghasilkan kuasa 276 hp dan tork pada 343 Nm. Mampu memecut dari 0 ke 100 km/j hanya dalam 5.3 saat dengan kelajuan maksimum 180 km/j.
Manakala untuk EX30 Ultra Twin Perfomance, ia hadir dengan dwi-motor (AWD) yang mampu menghasilkan kuasa 428 hp dan tork pada 543 Nm. Mampu memecut dari 0 ke 100 km/j hanya dalam 3.6 saat dengan kelajuan maksimum 180 km/j.
Ketiga-tiga varian ini menggunakan kapasiti bateri yang sama iaitu 69 kWh yang mampu menawarkan jarak gerak sejauh 480 km (WLTP) untuk EX30 Plus dan Ultra. Sementara untuk EX30 Ultra Twin Perfomance, ia menawarkan jarak gerak sejauh 450 km (WLTP). Menyokong pengecasan AC 11 kW dan pengecas DC pada 175 kW yang mampu mengecas dari 10% ke 80% hanya dalam masa 28 minit.
Untuk harga jualan, Volvo EX30 Plus dijual pada harga RM188,888, EX30 Ultra pada harga RM208,888 dan EX30 Ultra Twin Perfomance pada harga RM228,888. Semua varian didatangkan dengan jaminan kenderaan selama 5 tahun, jaminan bateri selama 8 tahun, perkhidmatan penyelenggaran percuma selama 5 tahun, roadside assistance selama 5 tahun dan capaian data Google selama 5 tahun.
Bagi yang berminat, Volvo EX30 kini boleh dipra-tempah secara dalam talian melalui laman web rasmi Volvo Malaysia.