Qualcomm dijangka akan menggunakan nama baru untuk cip andalan mereka yang seterusnya. Bermaksud, cip seterusnya tidak akan menggunakan nama ‘Snapdragon 8 Gen 4‘ seperti yang sepatutnya.
Menurut laporan, Qualcomm akan menjenamakan semula cip andalan mereka kepada nama baru iaitu Snapdragon 8 Elite. Maklumat mengenai penjenamaan tersebut dikesan melalui imej promosi untuk Xiaomi 15. Melalui imej tersebut, mendedahkan yang Xiaomi 15 akan dilengkapi dengan cip Snapdragon 8 Elite bukannyan Snapdragon 8 Gen 4.
Penggunaan nama baru ini dikatakan sebagai penanda kepada era baru cip Qualcomm. Yang mana, cip ini akan dilengkapi dengan teras Oryon yang turut digunakan pada cip komputer riba iaitu Snapdragon X Elite. Selain itu, ia turut memberikan bayangan yang cip Snapdragon 8 Elite akan menawarkan peningkatan yang ketara berbanding generasi sebelumnya.
Sekiranya laporan ini tepat, ia mungkin akan mengelirukan pengguna berikutan penjenamaannya tidak mempunyai nombor generasi untuk mengetahui yang mana lebih terbaru. Selain itu, tidak dapat dipastikan adakah penjenamaan ini akan turut tersedia untuk cip kelas pertengahan dan kelas bawahan atau sebaliknya.