Sistem operasi baru Nothing yang berasaskan kepada Android 15 iaitu Nothing OS 3.0 kini tersedia dalam versi Beta. Namun begitu, Nothing OS 3.0 Beta ini hanya tersedia untuk pengguna Nothing Phone (2a) sahaja.

Nothing menyatakan, kemas kini Nothing OS 3.0 Beta untuk pengguna Phone (2) akan dilepaskan pada bulan depan. Manakala untuk Phone (1), (2a Plus) dan CMF Phone (1) perlu menunggu lebih lama iaitu sehingga Disember.

Penawaran Nothing OS 3.0 Beta ini dilihat sedikit pelik kerana model premium iaitu Phone (2) menerima kemas kini lebih lewat berbanding model kelas pertengahan iaitu Phone (2a). Berikutan itu, kita mungkin boleh menjangkakan Phone (2a) akan menjadi peranti pertama menerima versi stabil dan diikuti oleh Phone (2).

Nothing OS 3.0 membawakan pelbagai peningkatan yang merangkumi prestasi sistem operasi, fungsi dan juga perubahan pada antaramuka yang lebih baik dari sebelumnya. Antara perubahan yang dibawakan pada Nothing OS 3.0 adalah seperti ubahsuai lock screen yang lebih baik, sokongan Smart Drawer, sokongan widget yang lebih menarik, pretasi kamera yang dipertingkat dan banyak lagi.
Bagi yang berminat, Nothings OS 3.0 Beta ini boleh dimuat turut melalui laman rasmi Nothing. Namun begitu, sistem operasi ini mungkin tidak berapa stabil untuk dipasang pada peranti harian anda. Untuk maklumat lebih lanjut mengenainya, boleh layari laman rasmi Nothing.