Sebelum ini, terdapat laporan mendedahkan yang siri OPPO Find X8 akan dilengkapi dengan butang tambahan yang dipanggil sebagai Quick Capture Button.
Terbaru, pengurus produk OPPO iaitu Zhao Yibao telah berkongsi video mengenai butang tersebut. Butang tambahan atau quick capture button dilihat boleh melakukan pelbagai pintasan seperti klik dua kali untuk melancarkan aplikasi kamera, klik sekali untuk mengambil gambar dan leret ke sisi untuk melakukan zum.
Video tersebut turut memperlihatkan butang ini boleh digunakan di dalam air berikutan peranti ini menyokong penarafan IP68/69. Selain itu, butang tambahan ini dikatakan selesa untuk digunakan dalam mod landskap dan juga potret. Butang tambahan ini menggunakan teknologi kapasitif yang mempunyai sensor khas untuk mengesan tindak balas haptic.
Siri OPPO Find X8 akan diperkenalkan pada 24 Oktober ini di China. Peranti ini akan turut diperkenalkan di Malaysia selepas dikesan melepasi pengesahan SIRIM Malaysia.