OnePlus secara rasmi berkongsi tarikh pelancaran peranti andalan mereka yang seterusnya iaitu OnePlus 13. Acara pelancaran tersebut dijadualkan akan berlangsung pada 31 Oktober 2024 di China.
Seiring dengan pelancaran yang semakin hampir, pelbagai maklumat telahpun didedahkan mengenai peranti ini. OnePlus 13 dijangka hadir dengan teknologi skrin baru dari BOE dan akan dikuasakan dengan cip terbaru dari Qualcomm iaitu Snapdragon 8 Elite.
Dari segi rekaan, OnePlus 13 tidak lagi menggunakan rekaan jenis melengkung sebaliknya menggunakan rekaan jenis rata untuk skrin dan juga bingkai. Walau bagaimanapun, rekaan kamera belakang kekal menggunakan rekaan bulat seperti model sebelumnya dengan penjenamaan Hasselblad.
Selain itu, OnePlus 13 dijangka menyokong aksesori magnetik seperti pengecasan tanpa wayar magnetik. Namun begitu, fungsi magnetik tersebut tidak akan dimuatkan pada peranti sebaliknya ia memerlukan casing khas untuk menyokong fungsi tersebut.
Seperti biasa, maklumat lebih tepat mengenai peranti ini hanya akan diketahui pada acara pelancarannya kelak. Sama-sama kita nantikan.