OnePlus dijangka akan memperkenalkan OnePlus 13 ke pasaran tempatan selepas peranti tersebut dikesan melepasi pengesahan SIRIM Malaysia.
Peranti tersebut dikesan melepasi pengesahan SIRIM pada 24 Oktober 2024 dengan kod model CPH2653 (OnePlus 13) dan didaftarkan JIE BUSINESS SDN BHD. Untuk pasaran China, peranti ini akan diperkenalkan pada 31 Oktober ini.
OnePlus telahpun berkongsi beberapa maklumat awal mengenai peranti ini. OnePlus 13 dijangka hadir dengan teknologi skrin baru dari BOE dan akan dikuasakan dengan cip terbaru dari Qualcomm iaitu Snapdragon 8 Elite.
OnePlus 13 tidak lagi menggunakan rekaan jenis melengkung sebaliknya menggunakan rekaan jenis rata untuk skrin dan juga bingkai. Walau bagaimanapun, rekaan kamera belakang kekal menggunakan rekaan bulat seperti model sebelumnya dengan penjenamaan Hasselblad. Selain itu, OnePlus 13 dijangka menyokong aksesori magnetik seperti pengecasan tanpa wayar magnetik.
Buat masa ini, OnePlus Malaysia belum lagi mendedahkan sebarang maklumat mengenai tarikh pelancaran dan ketersediaan peranti ini.