Dua peranti andalan baru HONOR iaitu Magic7 dan Magic7 Pro telahpun dilancarkan secara rasmi di China. Tampil dengan pelbagai peningkatan merangkumi spesifikasi, fungsi dan juga kemampuan kamera yang lebih baik.
HONOR Magic7 Pro merupakan model paling premium dalam siri ini. Dilengkapi dengan skrin LTPO OLED jenis melengkung bersaiz 6.82-inci. Turut menyokong paparan 120Hz dengan kecerahan puncak HDR 5000 nits. Dikuasakan dengan cip Snapdragon 8 Elite yang dipadankan dengan 16GB RAM dan storan dalaman sehingga 1TB.
Untuk fotografi, ia hadir dengan tetapan tri-kamera belakang dengan sensor utama 50MP + 50MP Ultra Lebar + 200MP Telefoto dengan 3x zum optik dan 100x zum digital. Untuk swafoto, ia hadir dengan sensor 50MP yang dipadan dengan sensor 3D deep sensing. Dimuatkan dengan bateri 5850mAh yang menyokong pengecasan 100W berwayar dan 80W tanpa wayar.
Manakala untuk HONOR Magic7, ia hadir dengan skrin LTPO OLED bersaiz 6.78-inci yang menyokong paparan 120Hz dan kecerahan puncak HDR 5000 nits. Turut dikuasakan dengan cip Snapdragon 8 Elite yang dipadankan dengan RAM sehingga 16GB dan storan dalaman sehingga 1TB.
Turut menggunakan tetapan tri-kamera belakang dengan sensor utama 50MP + 50MP Ultra Lebar + 50MP Telefoto. Untuk swafoto, ia hadir dengan sensor sebesar 50MP. Bateri 5650mAh yang turut menyokong pengecasan 100W berwayar dan 80W tanpa wayar.
Spesifikasi lain yang turut ditawarkan pada kedua-dua model adalah seperti penarafan IP68/IP69, WiFi 7, Bluetooth 5.4, pengimbas cap jari bawah skrin, NFC, IR Blaster dan menjalankan MagicOS 9.0 yang berasaskan kepada Android 15. Peranti ini turut menyokong pelbagai fungsi yang dikuasakan oleh AI seperti AI Deep Fake.
Di China, HONOR Magic7 dijual pada harga bermula sekitar CNY4499 (RM2766) manakala HONOR Magic7 Pro pula dijual pada harga bermula sekitar CNY5699 (RM3505). Tidak dapat dipastikan adakah peranti ini akan turut ditawarkan untuk pasaran tempatan atau sebaliknya.