Apple secara rasmi memperkenalkan generasi baru MacBook Pro yang dijana dengan cip yang lebih berkuasa. Ditawarkan dalam 2 pilihan saiz skrin iaitu 14-inci atau 16-inci dan 3 pilihan cip iaitu M4, M4 Pro dan M4 Max.
Untuk MacBook Pro 14-inci ia tersedia dengan tiga pilihan cip iaitu M4, M4 Pro dan M4 Max. Manakala MacBook Pro 16-inci pula, ditawarkan dengan dua pilihan cip sahaja iaitu M4 Pro dan M4 Max.
Apple menyatakan yang MacBook Pro dengan cip M4 ini menawarkan peningkatan 20 kali ganda lebih pantas dari MacBook Pro yang dijana dengan cip Intel. Selain itu, ia turut menawarkan jangka hayat bateri yang lebih panjang sehingga 24 jam. Dari segi skrin, semua model dilengkapi dengan paparan Liquid Retina XDR yang dipertingkat dengan pilihan nano-texture.
Keupayaan kamera center stage 12MP turut dipertingkat dengan menyokong kualiti video yang lebih baik untuk pelbagai keadaan dan persekitaran. Selain itu, ia turut menyokong sehingga 4 monitor tambahan dengan resolusi sehingga 8K.
Spesifikasi lain yang turut hadir adalah seperti slot kad SDXC, MagSafe 3, WiFi 6E, Thunderbolt 5, bicu audio 3.5mm, HDMI dan menjalankan sistem operasi macOS Sequoia. Namun begitu, Thunderbolt 5 hanya tersedia untuk MacBook Pro yang menggunakan cip M4 Pro dan M4 Max.
Untuk pasaran Malaysia, MacBook Pro 14-inci dijual pada harga bermula RM6999 untuk cip M4, RM8499 untuk cip M4 dan RM13,999 untuk cip M4 Max. Sementara untuk MacBook Pro 16-inci pula dijual pada harga bermula RM10,999 untuk cip M4 Pro dan RM15,999 untuk cip M4 Max.