Samsung Galaxy S24 FE telahpun tiba secara rasmi ke pasaran tempatan. Tampil dengan spesifikasi yang menarik dan dimuatkan dengan pelbagai fungsi Galaxy AI. Selain itu, peranti ini juga boleh dikatakan sebagai alternatif terbaik untuk siri Galaxy S24.
Sekiranya anda merancang untuk menjadikan Galaxy S24 FE sebagai peranti yang seterusnya. Ini 3 perkara menarik dan kurang menarik pada Galaxy S24 FE.
3 perkara menarik
Rekaan
Tidak dinafikan, tiada perubahan ketara dari segi rekaan pada Galaxy S24 FE berbanding model sebelumnya. Namun begitu, masih terdapat beberapa perubahan yang dilakukan oleh Samsung untuk menjadikan ia lebih menarik dan lebih baik berbanding generasi sebelumnya.
Perubahan yang kami suka pada Galaxy S24 FE adalah ia kini tampil dengan rekaan yang lebih berkotak yang dipadankan dengan kemasan jenis kesat. Selain itu, rekaan sisi kini lebih rata berbanding bulat pada model sebelumnya. Gabungan ini menjadikan ia lebih selesa apabila dipegang dalam masa yang sama memberikan cengkaman yang lebih baik.
Untuk menjadikan rekaan lebih kukuh, Samsung menggunakan bahan binaan yang lebih lasak iaitu armor aluminum dan menyokong penarafan IP68 menjadikan peranti kalis air dan juga debu. Pilihan warna yang menarik turut menjadi sebab Galaxy S24 FE ini dilihat lebih menonjol dan lebih menarik.
Prestasi
Prestasi mungkin perkara yang tidak perlu dirisaukan pada peranti ini. Dikuasakan dengan cip Exynos 2400e yang setanding dengan cip yang digunakan Galaxy S24 dan S24 Plus iaitu Exynos 2400. Perbezaan pada kedua-dua cip ini adalah pada kelajuan iaitu 3.1GHz pada Exynos 2400e manakala 3.2GHz pada Exynos 2400.
Berikutan itu, Galaxy S24 FE mampu menawarkan prestasi yang sangat baik sebaris peranti andalan lain di pasaran. Tidak ketinggalan, konfigurasi RAM dan storan yang besar turut menjadi sebab peranti ini mampu memberikan prestasi yang cukup baik.
Jadi, tidak hairan sekiranya peranti ini dapat menjalankan pelbagai permainan atau aplikasi dengan lancar tanpa sebarang masalah.
Galaxy AI
Seperti mana peranti andalan Samsung yang lain, Galaxy S24 FE turut hadir dengan pelbagai fungsi yang dikuasakan oleh Galaxy AI. Yang mana, fungsi ini dapat meningkatkan lagi produktiviti dan memudahkan urusan seharian.
Antara fungsi Galaxy AI yang tersedia pada Galaxy S24 FE adalah seperti Circle to search, Call assist, Chat assist, Interpreter, Browsing assist dan Photo assist. Bukan itu sahaja, peranti turut ditawarkan dengan fungsi yang ditawarkan pada Galaxy Z Fold6 dan Z Flip6 iaitu Sketch to image, Note assist, Live translate dan Composer.
Bercakap mengenai fungsi Galaxy AI, secara peribadi ini 3 fungsi yang kerap kami gunakan iaitu Circle to search, Photo assist dan Sketch to image. Circle to search memudahkan kami membuat cari dengan lebih pantas, Photo assist pula membolehkan kami menjadikan hasil imej lebih baik manakala Sketch to image membantu untuk menjana hasil lukisan menjadi lebih baik.
3 perkara kurang menarik
Pengecasan
Pada ketika ini, kebanyakkan pengeluar menyertakan pengecasan pantas yang lebih tinggi pada peranti andalan mereka. Namun berbeza dengan Samsung, kekal menggunakan teknologi pengecasan yang sama pada Galaxy S24 FE.
Galaxy S24 FE hadir dengan kapasiti yang lebih besar iaitu 4700mAh berbanding 4500mAh pada model sebelumnya. Walau bagaimanapun, peranti ini hanya menyokong pengecasan 25W berwayar,15W tanpa wayar dan 5W untuk reverse wireless charging.
Kami menjangkakan yang Galaxy S24 FE sekurang-kurangnya menyokong pengecasan 45W sama seperti yang ditawarkan pada siri Galaxy S24. Malangnya perkara tersebut tidak berlaku seperti yang diharapkan. Samsung mungkin mempunyai sebab tersendiri untuk mengekalkan pengecasan yang sama atau pengecasan yang lebih pantas mungkin akan tersedia pada siri Galaxy FE yang seterusnya.
Skrin
Tidak dinafikan, terdapat pelbagai peningkatan yang dibawakan oleh Samsung pada skrin Galaxy S24 FE jika dibandingkan dengan model sebelumnya. Namun begitu, masih terdapat perkara kurang menarik mengenai skrin peranti ini.
Perkara yang dimaksudkan adalah mengenai bingkai skrin pada Galaxy S24 FE boleh dikatakan agak tebal untuk sebuah peranti andalan. Jika dibandingkan dengan Galaxy S24, ia mempunyai bingkai skrin yang lebih nipis. Bingkai skrin yang lebih nipis memberikan pengalaman visual yang lebih baik dan lebih imersif.
Walau bagaimanapun, secara keseluruhan kemampuan skrin Galaxy S24 FE sememangnya sangat baik dan setanding peranti andalan lain di pasaran. Sekiranya Samsung menggunakan rekaan bingkai yang lebih nipis ia menjadikan peranti ini nampak lebih menarik dan lebih mewah.
Kamera
Seperti mana pengecasan, kemampuan kamera pada Galaxy S24 FE juga tiada sebarang perubahan. Bermaksud, ia kekal menggunakan tetapan kamera yang sama iaitu 50MP Utama + 12MP Ultra Lebar + 8MP Telefoto. Manakala untuk swafoto, ia menggunakan sensor sebesar 10MP.
Dengan menggunakan tetapan kamera yang sama, kita mungkin boleh menjangkakan hasil yang diberikan juga sama. Namun begitu, kemampuan kamera pada Galaxy S24 FE boleh dikatakan cukup baik untuk pelbagai keadaan dan setanding peranti andalan lain.
Kita mungkin boleh mengharapkan yang Samsung akan menawarkan kemampuan kamera yang lebih baik pada generasi Galaxy FE yang seterusnya.