Apple melancarkan program gantian untuk menyelesaikan masalah kamera yang berlaku pada iPhone 14 Plus.
Menurut Apple, hanya sejumlah kecil pengguna sahaja yang terjejas dengan masalah ini. Yang mana, imej preview tidak diperlihatkan apabila mengambil gambar dengan menggunakan kamera belakang peranti tersebut.
iPhone 14 Plus yang terkesan dengan masalah ini dihasilkan antara 10 April 2023 hingga 28 April 2024. Pengguna boleh menyemak peranti mereka terjejas ataupun tidak dengan memasukkan nombor siri pada laman rasmi program tersebut.
Untuk peranti yang layak, Apple atau penyedia perkhidmatan Apple tidak akan mengenakan sebarang bayaran untuk kos penggantian. Selain itu, Apple turut menawarkan bayaran balik kepada pengguna yang telah membayar untuk masalah yang sama.