Siri vivo X200 telahpun dilancarkan secara rasmi di China. Hadir dengan 3 pilihan model iaitu vivo X200, X200 Pro Mini dan X200 Pro.
Terbaru, vivo mengesahkan yang siri X200 akan turut diperkenalkan ke pasaran tempatan pada November ini. Lebih menarik, Malaysia akan menjadi negara Asia Tenggara pertama yang akan menawarkan peranti tersebut.
Perkara ini tidak mengejutkan kerana peranti ini telahpun dikesan melepasi pengesahan SIRIM pada Oktober lalu. Namun begitu, tidak dapat dipastikan adakah ketiga-tiga model akan ditawarkan untuk pasaran tempatan atau sebaliknya.
Di China, siri vivo X200 dikuasakan dengan cip Dimensity 9400 yang dipadankan dengan RAM sehingga 16GB dan storan dalaman 1TB UFS 4.0. Menggunakan tetapan tri-kamera belakang yang digabungkan dengan penjenamaan Zeiss.
Walau bagaimanapun, vivo Malaysia belum lagi berkongsi mengenai tarikh pelancaran untuk peranti ini.