Apple mungkin akan memperkenalkan iPhone 17 ‘Air’ sebagai pengganti kepada model Plus. Seperti namanya, model ini akan menggunakan rekaan yang lebih nipis dan lebih ringan.
Dalam perkembangan terbaru, iPhone 17 Air mungkin tidak hadir dengan rekaan yang terlalu nipis. Apple dikatakan menghadapi masalah untuk menghasilkan rekaan yang lebih nipis kerana rekaan bateri yang agak tebal iaitu 6mm.
Untuk mendapatkan rekaan yang lebih nipis, Apple mungkin terpaksa mengurangkan kapasiti bateri sekaligus akan menawarkan jangka hayat bateri yang lebih pendek. Berbeza dengan iPad Pro 13-inci yang hanya setebal 5.1mm, ia mempunyai permukaan yang besar dan luas sekaligus masih dapat menawarkan jangka hayat bateri yang lebih baik.
Sebagai rekod, iPhone 6 merupakan iPhone paling nipis yang pernah dihasilkan dengan ketebalan hanya 6.9mm. Berikutan itu, kita mungkin boleh menjangkakan rekaan iPhone 17 Air mungkin sekitar 6.9mm hingga 7.8mm.