Apple dijangka akan memperkenalkan AirTag generasi kedua pada pertengahan tahun 2025.
Menurut laporan, Apple AirTag 2 berkemungkinan akan tiba pada pertengahan 2025. AirTag 2 dikatakan akan kekal menggunakan rekaan yang sama seperti model sebelumnya.
Namun begitu, AirTag 2 akan hadir dengan beberapa peningkatan yang lebih baik berbanding model sebelumnya. Peranti ini akan dilengkapi dengan cip UWB yang lebih berkuasa dan menyokong jarak penjejakan yang lebih besar dan luas sekaligus membolehkan peranti ini dikesan dengan lebih baik.
Selain itu, pembesar suara yang dimuatkan pada AirTag 2 dikatakan lebih sukar untuk dibuang atau diubah suai. Dengan perubahan ini, ia dapat mengelakkan peranti ini digunakan sebagai alat pengintip oleh pengguna yang tidak bertanggungjawab.