OpenAI dikatakan bakal memperkenal pelayar web mereka sendiri. Buat yang tidak mengetahui, OpenAI adalah pencipta kepada perkhidmatan kecerdasan buatan iaitu ChatGPT.
Menurut laporan, OpenAI sedang mempertimbangkan untuk memperkenal pelayar web sendiri yang akan digabungkan dengan keupayaan ChatGPT. OpenAI dikatakan telahpun memulakan perbincangan dengan pemaju laman web seperti Conde Nast, Redfin, Eventbrite dan Priceline untuk menyediakan ciri carian pada laman web tersebut.
OpenAI telahpun memperlihatkan prototaip dan reka bentuk pelayar web tersebut kepada pemaju dan pembangun laman web. Selain itu, OpenAI turut dikatakan telah memulakan perbincangan dengan Samsung untuk menawarkan ciri kecerdasan buatan (AI) pada peranti mereka.
OpenAI sebelum ini telahpun mengumumkan ChatGPT Search membolehkan pengguna membuat carian secara langsung tanpa perlu beralih kepada aplikasi atau enjin carian lain. Ketibaan pelayar web dari OpenAI ini dijangka akan menjadi pencabar kepada Google.