Zeekr Malaysia kini sedia untuk menawarkan dua kenderaan elektrik (EV) untuk pasaran tempatan melalui model Zeekr X dan Zeekr 009. Sebelum ini, kedua-dua model ini telahpun dibuka untuk pra-tempahan pada September lalu.
Zeekr X adalah sebuah SUV elektrik dengan 2 pilihan varian iaitu Premium dan Flagship. Untuk model Premium dilengkapi dengan motor tunggal (RWD) yang mampu menghasilkan kuasa 268 hp dan tork 343 Nm. Mampu memecut dari 0 ke 100 km/j hanya dalam masa 5.6 saat. Dimuatkan dengan bateri 66 kWh yang mampu bergerak sejauh 440 km (WLTP). Dari segi pengecasan, ia menyokong pengecasan DC pada 150 kW.
Untuk model Flagship, ia dilengkapi dengan dwi-motor (AWD) menghasilkan kuasa 422 hp dan tork 543 Nm. Mampu memecut dari 0 ke 100 km/j hanya dalam masa 3.8 saat sahaja. Dimuatkan dengan kapasiti bateri yang sama iaitu 66 kWh yang mampu bergerak sejauh 420 km (WLTP). Untuk pengecasan, ia turut menyokong pengecasan pantas DC yang sama iaitu 150 kW.
Selain itu, Zeekr Malaysia turut memperkenalkan MPV elektrik mereka iaitu Zeekr 009. Model ini turut hadir dengan 2 pilihan varian iaitu Luxury (7-seat) dan Ultra-Luxury (6-seat). Kedua-dua model ini dilengkapi dengan dwi-motor (AWD) yang menghasilkan kuasa 603 hp dan tork 693 Nm, mampu memecut dari 0 ke 100 km/j dalam masa 4.5 saat.
Selain itu, kedua-dua model ini menggunakan kapasiti bateri yang sama iaitu 116 kWh, menawarkan jarak gerak sehingga 582 km. Dari segi pengecasan, ia menyokong pengecasan DC pada 150 kW dan pengecasan AC pada 11 kW.
Perbezaan ketara untuk kedua-dua varian adalah pada bahagian dalaman. Yang mana, Ultra-Luxury tampil dengan rekaan dalaman yang lebih mewah dengan kemasan jenis kulit, 30 pembesar suara dari Yamaha dan juga skrin OLED bersaiz 17-inci untuk penumpang belakang.
Untuk harga jualan, Zeekr X versi Premium ditawarkan pada harga RM156K sementara versi Flagship pula ditawarkan pada harga RM173K. Manakala untuk Zeekr 009 pula, ia dijual pada harga RM350K versi Luxury (7-seat) dan RM360K untuk Ultra Luxury (6-seat).