vivo dijangka akan memperkenalkan sub-jenama baru mereka yang akan dikenali sebagai ‘Jovi’.
Menurut laporan, sub-jenama tersebut dikatakan telah didaftarkan sekaligus memberikan bayangan yang vivo sedia untuk menjadi kuasa besar dalam pasaran telefon pintar. Jovi bukanlah satu nama baru kerana ia merupakan pembantu AI yang digunakan oleh vivo pada peranti mereka.
Melalui pangkalan data GSMA, terdapat tiga model yang akan diperkenalkan di bawah Jovi iaitu Jovi V50 (V2427), Jovi V50 Lite 5G (V2440) dan Jovi Y39 5G (V2444). Sub-jenama ini dilihat lebih memfokuskan kepada penawaran peranti mampu milik dan juga kelas pertengahan.
Namun begitu, ketiga-tiga model ini dilihat tampil dengan spesifikasi dan rekaan yang hampir sama seperti model sedia ada yang ditawarkan oleh vivo. Tidak dapat dipastikan, adakah Jovi akan digunakan sebagai penjenamaan semula untuk model sedia ada vivo atau sebaliknya.
Buat masa ini, vivo belum lagi mengumumkan sebarang maklumat mengenai sub-jenama ini. vivo yang dimiliki oleh BBK Electronics telahpun mempunyai pelbagai jenama dan sub-jenama seperti iQOO, OPPO, realme dan OnePlus.